Krisis politik mesti diselesaikan secepat mungkin
PETALING JAYA: Krisis politik negara mesti diselesaikan secepat mungkin, supaya ekonomi negara boleh dipulihkan semula dan krisis kesihatan diperbaiki, tegas Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.
Beliau berkata, krisis perlembagaan harus dielakkan kerana kesannya sangat mendalam terhadap ekonomi.
“Rakyat kini berada dalam kesulitan dan tekanan dari segi kesihatan dan ekonomi, pastinya tiada siapa yang mahukan keadaan yang lebih buruk berikutan isu politik negara.
“Pelaburan asing negara berada pada kadar yang rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini dan kemelut politik semasa tidak membantu Malaysia untuk bersaing dengan negara jiran yang amat kompetitif,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia jatuh ke paras bawah 1,500 mata buat pertama kali sejak hampir sembilan bulan ketika ditutup Jumaat lalu, impak negatif setiap kali berlakunya krisis politik.
Bursa Malaysia minggu lalu menyaksikan kejatuhan indeks sebanyak 18.33 mata apabila ditutup pada 1,494.60 mata berbanding 1,512.93 mata hari sebelumnya.
Kali terakhir indeks Bursa Malaysia mencatatkan mata bawah 1,500 adalah pada 4 November lalu iaitu sekitar 1,464.61 mata.
Pada minggu ini, Bursa Malaysia dijangka menyaksikan urus niaga berhati-hati berikutan pergolakan politik negara yang masih berlarutan sejak persidangan Parlimen dibuka semula.
Aimi Zulhazmi berkata, pelabur-pelabur asing sudah tentu akan memantau perkembangan politik semasa Malaysia kerana ia mempengaruhi prestasi pasaran modal negara.
“Bursa Malaysia dijangka akan disokong oleh pelabur-pelabur institusi tempatan yang akan membeli saham mewah yang dijual pada harga rendah oleh pelabur asing.
“Namun, ramai pelabur tetap berhati-hati mengawasi suasana politik yang bakal mempengaruhi ekonomi dan memberi tekanan kepada krisis kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN










