Kerjasama Inceif, Universiti Monash perkasa kewangan Islam - Utusan Malaysia

Kerjasama Inceif, Universiti Monash perkasa kewangan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (Inceif) dan Universiti Monash menandatangani perjanjian persefahaman untuk mengintegrasi perspektif kewangan Islam dalam isu-isu global tama berkaitan pandemik.

Menurut Inceif, objektif utama kerjasama tersebut adalah untuk meneroka peranan kewangan Islam dalam pembaikpulihan sosioekonomi dunia.

Katanya, hasil kajian daripada kerjasama tersebut seterusnya boleh diguna pakai oleh mana-mana pihak yang relevan pada masa hadapan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Inceif, Profesor Datuk Dr. Azmi Omar berkata, pandemik Covid-19 telah menyedarkan penduduk dunia betapa pentingnya infrastruktur kajian yang stabil dan kewujudan dana bagi persediaan menghadapi sebarang tragedi yang melibatkan keselamatan awam.

Kata beliau, ia juga mempercepat pengadaptasian teknologi digital dalam kehidupan seharian tatkala masyarakat dinasihatkan duduk di rumah dan meminimumkan pergaulan sosial serta hubungan fizikal.

“Untuk mengelakkan atau mengurangkan krisis pada masa hadapan, ia bergantung kepada kajian aplikasi yang berkualiti, sejajar dengan objektif berpandukan keutamaan sosial dan ekonomi yang tinggi serta ilmu pengetahuan serta data yang boleh dipercayai.

“Kedua-dua elemen ini adalah asas dalam ekonomi dan kewangan Islam yang mementingkan keadilan dan inklusiviti serta sistem komersial yang berkonsepkan perkongsian risiko dengan penyelesaian struktural kepada krisis kesihatan dan kewangan dalam situasi terkini,” katanya dalam kenyataan.

Memorandum tersebut melibatkan kerjasama antara Inceif dengan Pusat Kajian Pandemik dari Sekolah Perniagaan Monash yang ditubuhkan dengan objektif membekalkan nasihat berkaitan polisi dan menjalankan kajian pada tahap global bagi membantu negara-negara dunia dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.

Sekolah Perniagaan Monash merupakan universiti perniagaan terbesar di Australia yang telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah kecemerlangan antarabangsa dalam bidang kajian dan pendidikan.

Majlis menandatangani memorandum tersebut diadakan secara maya antara Azmi yang mewakili Inceif dengan Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Sekolah Perniagaan Monash, Profesor Simon Wilkie yang mewakili Universiti Monash. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN