PETALING JAYA: Kerajaan baharu yang akan dilantik selepas ini memberi fokus kepada pemulihan kesihatan dan ekonomi agar negara dapat keluar dari krisis pandemik Covid-19 dengan segera.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan juga mengutamakan perangkaan pelan jangka panjang dan polisi pelaburan bagi mengembalikan keyakinan pelabur.
Kata beliau, langkah penambahbaikan tadbir urus negara termasuk melibatkan syarikat milik kerajaan (GLC) juga perlu diambil sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengoptimumkan fungsi kerajaan.
“Kabinet harus dikecilkan dan perlu dipastikan tiada lantikan menteri atau lantikan lain setaraf menteri yang banyak.
“Selain itu, lantikan ahli politik dalam GLC juga harus dihentikan serta-merta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Parlimen dan gagal mendapatkan kerjasama rentas parti politik.
Beliau menyembah surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah semalam dan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sebelum kerajaan baharu diumumkan.
Menurut Baharom, peletakan jawatan tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada pelabur luar yang akan mengambil langkah tunggu dan lihat sehingga pentadbiran baharu diumumkan.
Walau bagaimanapun, beliau tidak mena kan akan wujud tekanan kepada kerajaan baharu memandangkan dalam tempoh beberapa bulan ini terdapat dua pembentangan ekonomi penting oleh kerajaan melibatkan Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Saya jangkakan Belanjawan 2022 akan berfokus kepada pelan jangka pendek dan masalah semasa manakala RMK12 akan ditangguhkan sehingga masa yang sesuai,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini mengumumkan RMK-12 akan dibentang di Parlimen pada 20 September manakala Belanjawan 2022 pula pada 29 Oktober.
Dalam penerangannya mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat 26 Julai lalu, beliau berkata, Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan. – UTUSAN










