Kemelut politik: Pasaran ekuiti dijangka bercampur-campur - Utusan Malaysia

Kemelut politik: Pasaran ekuiti dijangka bercampur-campur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi menyifatkan krisis politik yang berlaku tidak memberi kejutan besar kepada pasaran saham tempatan dan impaknya pula bersifat sementara.

Ini kerana, peranan yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan pemilihan Perdana Menteri baharu mampu meredakan kemelut.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, apabila itu berlaku, saham tempatan akan kembali stabil.

“Bagaimanapun, sentimen ke atas pasaran ekuiti tempatan dijangka bercampur-campur sehingga situasi politik kembali stabil.

“Krisis politik dalam negara sememangnya akan memberi kesan negatif kepada bursa dan ringgit tetapi ia hanya bersifat sementara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) petang ini meningkat 0.1 peratus kepada 1,525.2 mata.

Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim pula berkata, prestasi bursa itu sejajar dengan sebilangan besar rakan Asia di mana para pelabur sedang mempertimbangkan antara pembukaan semula ekonomi atau ancaman varian Delta yang semakin menular.

“Dari segi kaunter, kaunter sarung tangan getah iaitu Hartalega dan Top Glove mencatat peningkatan harian masing-masing sebanyak 2.0 peratus dan 4.2 peratus memandangkan jumlah kes harian Covid-19 telah mencapai tahap tertinggi iaitu 22,242 kes, hari ini.

“Kaunter perladangan seperti Kuala Lumpur Kepong dan Sime Darby Plantations juga mencatatkan keuntungan sebanyak 2.0 peratus dan 2.9 peratus, masing-masing.

Ujarnya, ia sekaligus mendorong Indeks Perladangan Bursa Malaysia sebanyak 1.1 peratus, menjadikannya antara yang paling untung hari ini.

Mengulas lanjut, Adam menjelaskan, ringgit tidak menunjukkan banyak perbezaan kerana perubahan yang tidak menguntungkan dilindungi oleh penurunan harga minyak yang sedikit setelah penurunan selama empat hari berturut-turut.

Para pelabur menjadi resah terhadap permintaan bahan bakar ketika wabak Covid-19 sedang menular di seluruh dunia, katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN