Kebanyakan rakyat tidak mampu beli rumah  - Utusan Malaysia

Kebanyakan rakyat tidak mampu beli rumah 

Menurut institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa), purata harga rumah di Malaysia meningkat 5.6 klai ganda atau bersamaan 460 peratus kenaikan modal, menyebabkan kebanyakan rakyat tidak mampu membeli kediaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga rumah meningkat 0.3 peratus secara purata pada 2020 walaupun negara mengalami penguncupan ekonomi sehingga 5.6 peratus pada tahun tersebut disebabkan pandemik Covid-19.

Situasi tersebut menjadikan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk memiliki rumah dan ia dilihat sebagai ironi oleh institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial  (Refsa) kerana pada ketika ini, bekalan rumah negara berada pada tahap tertinggi.

Penyelidik Refsa, Lillian Wee berkata, antara 1990 sehingga 2019, purata harga rumah di Malaysia meningkat 5.6 klai ganda atau bersamaan 460 peratus kenaikan modal.

Sebaliknya, kata beliau, pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar per kapita tumbuh hanya sebanyak 2.8 kali ganda atau 180 peratus.

“Dalam pada itu, ketersediaan perumahan kos rendah adalah yang terlembap. Daripada keseluruhan 117,766 unit perumahan baharu yang dibina pada 2020, hanya 14,094 unit atau 12 peratus adalah kos rendah dengan harga bawah RM400,000.

“Jumlah ini gagal memenuhi sasaran Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan (NAHC) untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik setiap tahun.

“Sementara itu, 13,622 unit tidak terjual di seluruh Malaysia berharga lebih daripada RM500,000,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, menurut Lillian, baik kerajaan, penggubal dasar, institusi kewangan, pemaju dan pemegang taruh berkaitan perlu mempunyai strategi jelas yang berfokus yang mampu menjamin pemilikan rumah untuk semua orang.

Cadangan beliau, kerajaan perlu memberi perhatian kepada tiga persoalan utama, bermula dengan mencegah impak Covid-19 terhadap keterjaminan pemilikan rumah.

Kata beliau, kerajaan perlu berusaha memberi bantuan kepada penyewa dengan menyasarkan golongan rentan melalui kombinasi moratorium sewa, subsidi dan geran.

Seterusnya, kerajaan juga perlu menyelesaikan isu harga hartanah yang tidak beradaptasi dengan aliran pasaran dengan perundangan yang teliti, seperti memberi mandat kepada penilaian berasaskan pasaran untuk gadai janji hartanah, mengurangkan tarikan untuk prohram Malaysia Rumah Kedua (MM2H) selain menyelesaikan masalah rumah tidak terjual.

Terakhir, saran beliau, bekalan rumah mampu milik perlu ditambah dengan menambah baik perundangan dalam pasaran sewaan bagi menyeimbangkan kuasa undang-undang antara pemilik dengan penyewa.

“Dalam hal ini, kerajaan dan penggubal dasar perlu mempertimbangkan langkah perlindungan seperti menghapuskan pengusiran tanpa asas, melanjutkan tempoh notis minimum dan mewujudkan rejim berbeza untuk sewaan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN