PETALING JAYA: Prestasi ekonomi negara pada suku kedua tahun ini boleh mencatatkan peningkatan mendadak jika dibandingkan dengan prestasi suku sama tahun lalu, yang mana Malaysia mencatatkan pertumbuhan negatif terbesar sejak 1998.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sepanjang suku kedua, peningkatan kes Covid-19 menyebabkan negara gagal membuka ekonomi seperti yang dihasratkan.
Sehubungan itu, kata beliau, peratusan peningkatan yang signifikan mungkin dapat dilihat jika perbandingan dibuat secara tahun ke tahun namun jika ia dibandingkan dengan suku sebelumnya, pertumbuhannya agak rendah.
“Seperti yang kita tahu pada suku kedua 2020 ekonomi kita menguncup agak drastik pada -17.1 peratus. Jika kita membuat perbandingan sedemikian maka kita menjangkakan ekonomi bertumbuh lima hingga enam peratus kerana asas yang rendah.
“Kaedah kedua adalah membandingkan dengan suku pertama 2021. Jika kaedah ini digunakan, mungkin kadar pertumbuhan sedikit rendah, sekitar dua hingga tiga peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada suku kedua tahun lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan KDNK terendah sejak suku tahun keempat 1998 iaitu sebanyak -17.1 peratus.
Kerajaan pada awal tahun lalu mengunjurkan pertumbuhan KDNK negara untuk tahun ini antara enam hingga 7.5 peratus berdasarkan jangkaan kawalan kadar jangkitan Covid-19 dan tiada sekatan pergerakan penuh dilaksanakan.
Jangkaan tersebut ternyata tersasar apabila kes jangkitan Covid-19 terus meningkat dengan mendadak sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh sepanjang Jun lalu.
Sehubungan itu, unjuran KDNK tahun ini akan disemak semula dan dijangka diumumkan bulan ini.
Menurut Baharom, pertumbuhan pada suku kedua dijangka disokong perkembangan sektor eksport, khususnya elektrik dan elektronik serta minyak dan gas.
Kata beliau, faktor yang merencatkan pertumbuhan pula ialah kegagalan membuka semula sektor perkhidmatan dan peruncitan.
“Kita harus teruskan program vaksinasi seluas mungkin dan membuka semula ekonomi secepat mungkin pada suku ketiga dan keempat supaya pertumbuhan boleh kembali rancak,” katanya. – UTUSAN










