PETALING JAYA: Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi berkurang 0.4 peratus kepada 8.35 juta pada suku kedua tahun ini, berbanding 8.38 juta suku sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu juga menurun 0.9 peratus dibandingkan dengan suku pertama tahun ini.
Kata beliau, ia menunjukkan momentum pemulihan yang tidak menentu dalam permintaan buruh berikutan impak krisis kesihatan yang berpanjangan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan sejak Mac 2020.
Langkah-langkah pembendungan jangkitan Covid-19 sepanjang suku kedua juga dilihat memberi kesan kepada pasaran buruh apabila jawatan diisi menurun 0.5 peratus kepada 8.17 juta jawatan berbanding 8.21 juta pada suku sama tahun lalu.
“Pada suku tahun ini, bilangan kekosongan jawatan di sektor ekonomi adalah sebanyak 178,000, meningkat lima peratus disebabkan asas bilangan yang rendah direkodkan pada suku kedua 2020 iaitu 165,000.
“Bilangan kekosongan jawatan ini juga kekal lebih rendah daripada purata 200,000 kekosongan jawatan yang direkodkan semasa tempoh sebelum krisis.
“Kedua-dua kadar pengisian jawatan dan kekosongan jawatan masing-masing kekal pada 97.6 dan 2.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, hampir semua sektor merekodkan trend menurun dalam jawatan diisi kecuali sektor pembuatan yang mencatatkan peningkatan 0.9 peratus dengan mencatatkan sebanyak 2,16 juta jawatan.
Jelas beliau, lebih separuh daripada jawatan diisi tertumpu di sektor perkhidmatan (52.4 peratus) diikuti oleh pembuatan (26.4 peratus) dan pembinaan (14.9 peratus) manakala selebihnya iaitu 6.3 peratus adalah di sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.
“Dari segi kategori kemahiran, pengisian jawatan bagi kedua-dua kategori separuh mahir (-0.4 peratus) dan berkemahiran (-2.0 peratus) telah menurun manakala kategori mahir (0.1 peratus) meningkat secara marginal berbanding suku kedua 2020.
“Melihat kepada komposisi mengikut kategori kemahiran pula, lebih separuh daripadanya adalah kategori separuh mahir dengan peratus sumbangan 62.4 peratus (5.1 juta) manakala kategori mahir merangkumi 24.7 peratus (dua juta),” katanya. – UTUSAN










