Jualan Honda Malaysia susut 52% - Utusan Malaysia

Jualan Honda Malaysia susut 52%

PENUTUPAN sektor ekonomi termasuk industri automotif bagi membanteras Covid-19, telah menjejaskan jualan Honda Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan kenderaan Honda bagi tempoh Mei hingga Julai lalu susut sebanyak 52 peratus tahun ke tahun berikutan penutupan operasi perniagaan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, dengan hanya perkhidmatan selepas jualan tertentu yang dibenarkan dan operasi penjualan serta pembuatan yang terhenti, tidak hairanlah jualan merosot.

“Kami telah menjual sekitar 5,700 unit kenderaan dalam tempoh itu berbanding hampir 12,000 unit terjual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Penutupan perniagaan yang berpanjangan juga telah mempengaruhi produksi model baharu Honda Malaysia kerana tiada ujian yang dijalankan di kemudahan pembuatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahan lagi, katanya, bekalan rantaian syarikat dan bahagian eksport turut terjejas. Industri automotif menyokong pelbagai rangkaian pembekal komponen dan alat gentian tempatan yang terdiri daripada beberapa peringkat.

Ujarnya, pembekal-pembekal itu mungkin tidak dapat mengekalkan operasi mereka sekali gus memberi kesan kepada seluruh rantaian bekalan.

Madoka menjelaskan, sekatan perjalanan yang dilanjutkan sehingga sekarang, tanpa bayangan yang perniagaan boleh dijalankan semula, telah mempengaruhi perancangan dan pelaburan keseluruhan industri automotif.

“Lebih membimbangkan, kesan domino yang dialami oleh 101 pengedar sah Honda yang mempunyai masalah kewangan dan ketidakpastian pekerjaan untuk penasihat perkhidmatan  dan jualan serta kakitangan lain.

“Pendapatan penasihat jualan yang banyak bergantung kepada komisen yang diperoleh juga telah terjejas teruk,” jelas Madoka.

Madoka memberitahu, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengedar dan rakan sekutu Honda. Oleh itu, syarikat berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dalam waktu yang sukar ini.

Tambahnya, salah satu usaha mereka adalah mendaftarkan rakan sekutu Honda di bawah Program Imunisasi Covid-19 Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk mempercepatkan kadar vaksinasi negara.

Syarikat itu menyasarkan untuk mencapai 100 peratus dos pertama untuk semua rakan sekutunya pada pertengahan Ogos ini.

“Oleh kerana Malaysia adalah salah sebuah negara yang mencapai kadar vaksinasi terpantas, kami berharap sasaran vaksinasi dan seterusnya program vaksinasi di seluruh negara akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia.

“Honda Malaysia menghargai kerja keras semua petugas barisan hadapan yang telah berusaha tanpa henti untuk membantu memerangi wabak tersebut,” katanya.

Honda Malaysia turut berharap sektor automotif dapat dibenarkan beroperasi semula secepat mungkin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan kesan jangka panjang seperti pemberhentian pekerja dan penutupan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN