PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) melancarkan Johor Digital and Emerging Technology Talent Programme (JDETT) bagi mengembang, memupuk dan melahirkan bakat untuk menyokong sektor teknologi di wilayah Iskandar Puteri.
Inisiatif bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi warga Johor itu dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor dan Persekutuan, selain disokong oleh industri, bakat, latihan, dan rakan pembiayaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, program JDETT adalah kunci kepada visi jangka panjang IIB dalam mewujudkan penyelesaian menang-menang untuk peserta program dan syarikat teknologi digital negeri.
Ujarnya, peserta program berpeluang untuk meningkatkan diri dalam bidang utama yang relevan dengan arus semasa manakala syarikat-syarikat teknologi digital di Johor akan mempunyai akses kepada kumpulan kolaborator bakat yang lebih besar dan mahir.
“Untuk menangani masalah pengangguran, meningkatkan pekerjaan dan merangsang pemulihan ekonomi domestik, Kementerian Kewangan memperkenalkan Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP) dan Penjana Kerjaya 2.0 inisiatif di bawah Belanjawan 2021.
“Justeru, IIB Ventures (IIBV), anak syarikat milik penuh IIB akan melaksanakan program JDETT yang bertujuan memberi peluang pekerjaan di sektor swasta dan awam, dengan fokus pada industri dengan pekerjaan permintaan tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Program MySTEP terbuka kepada graduan Malaysia yang menganggur dari usia 18 hingga 30 tahun.
Ia memberi tumpuan khusus pada bidang kritikal dalam sektor teknologi digital terutama merangkumi peluang di bidang kecerdasan buatan, robotik, blockchain, e-dagang, teknologi dron dan perniagaan perkhidmatan sokongan.
IIBV yang disokong oleh Khazanah Nasional Berhad akan menggunakan model Hire-Place-Train yang merangkumi pengalaman menyeluruh mengenai latihan pekerjaan dengan industri teknologi digital dan baharu di Johor.
Menurut Khairil Anwar, seramai 17 pelatih akan ditempatkan di anak syarikat IIB, Iskandar Management Services (IMS) dan Synapse, sebagai kumpulan pertama yang memulakan Program Latihan MySTEP2021.
“Kami berharap pengetahuan yang diperoleh dalam tempoh latihan akan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan seterusnya memanfaatkan potensi pelatih untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang.
“Kita sentiasa memandang ke hadapan dan mengalu-alukan kolaborasi dengan lebih banyak syarikat bagi penempatan pelatih Program MySTEP2021 dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










