PUTRAJAYA: Industri sawit keluaran negara terus mengekalkan kedudukan sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia untuk sepanjang tahun lepas.
Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi malah memaklumkan, Malaysia mengeksport sebanyak 17.4 juta tan minyak sawit mentah (MSM) pada tahun lalu.
“Ia adalah 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia serta meningkat daripada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Malahan, sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan negara naik menjadi RM73.25 bilion pada 2020 berbanding hanya RM67.55 bilion pada 2019.
Perolehan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan agrikomoditi negara.
Kementerian itu percaya, kedudukan Malaysia tidak tergugat pada tahun ini apabila suku kedua 2021 merekodkan masih sebagai penyumbang terbesar KDNK sebanyak 43 peratus.
Peningkatan jumlah eksport agrikomoditi daripada sawit tambah kementerian, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding cuma RM33 bilion pada suku kedua tahun lalu.
Kenaikan harga MSM juga memberi kesan positif kepada pekebun kecil dengan pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit di Semenanjung pada 2020 dianggarkan RM9,570 sehektar.
“Sementara bagi Sabah dan Sarawak, pekebun dua negeri terbabit masing-masing menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 bagi setiap hektar,” jelasnya.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, hasil kutipan duti eksport MSM dianggarkan RM564.8 juta iaitu melonjak lima kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Justeru, bagi memastikan peningkatan harga MSM dirasai semua lapisan masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme khas.
Contohnya, syor mewujudkan kawal selia mengatasi kenaikan harga minyak masak sawit tidak bersubsidi di pasaran runcit tempatan agar dapat dinikmati rakyat pada masa depan.
Di samping itu, pihak kementerian menjangka kutipan levi keuntungan luar biasa atau WPL dianggarkan RM950 juta pada tahun ini berbanding hanya RM165 juta sepanjang tahun lalu.
Ia berikutan kenaikan harga MSM yang telah merekodkan RM3,500 satu tan dari Januari sehingga Mei lalu serta unjuran bakal melebihi RM2,500 satu tan sehingga akhir tahun ini.
Peningkatan itu dilihat membawa kesan positif kepada masyarakat kerana secara prinsip, lonjakan harga di pasaran dunia turut akan memberi impak ekonomi secara berangkai.
“Kementerian percaya sektor agrikomoditi khasnya sawit akan memainkan peranan kepada ekonomi tahun ini dan kemakmuran lebih 500,000 pekebun kecil seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










