PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluaran Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku kedua 2021 meningkat 0.3 peratus kepada 110.3 berbanding 110.0 pada suku sama tahun lalu.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan indeks disokong oleh penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 1.6 peratus, aktiviti hartanah (1.5 peratus), pendiidkan (0.5 peratus), kesihatan (0.3 peratus) dan profesional (0.1 peratus).
Bagaimanapun kata beliau, subsektor pengangkutan dan kesenian; hiburan dan rekreasi masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 0.3 peratus dan 0.1 peratus, sementara indeks maklumat dan komunikasi tidak berubah.
Katanya, perbandingan suku tahunan menunjukkan indeks meningkat kepada 0.1 peratus.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh tiga subsektor iaitu kesenian, hiburan dan rekreasi sebanyak 1.1 peratus; penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman (0.4 peratus) dan pengangkutan (0.1 peratus).
“Manakala subsektor makumat dan komunikasi; aktiviti hartanah, profesional, pendidikan dan kesihatan tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir menyeru penduduk di negara ini untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan Banci Malaysia 2020 yang sedang dilaksanakan secara dalam talian (e-Census).
“Ia bagi memastikan tiada yang ketinggalan kerana data anda masa depan kita,” katanya.
Untuk e-Census, orang ramai boleh melayari portal Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN










