IJM Land bantu keluarga yang memerlukan - Utusan Malaysia

IJM Land bantu keluarga yang memerlukan

HOO KIM SEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IJM Land Seremban 2 mengadakan kempen `Bantuan Baucar Sara Hidup’ bagi membantu keluarga kurang bernasib baik di daerah Seremban dan Port Dickson.

Menurut IJM Land, bermula dari sekarang hingga 31 Disember ini, pihaknya bersama N9 Faith Hope Love, platform amal yang memberi sokongan kepada golongan memerlukan di Negeri Sembilan, kini dalam usaha mengenal pasti keluarga kurang bernasib baik termasuk keluarga ibu atau bapa tunggal, individu kehilangan pekerjaan atau mereka yang mengalami cabaran dalam perniagaan.

Jelasnya, dengan sumbangan berjumlah RM50,000, syarikat akan memberikan baucar 99 Speedmart bernilai RM100 kepada 100 keluarga yang layak setiap bulan mulai bulan ini hingga Disember, sebagai bantuan sementara untuk meringankan beban mereka.

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Datuk Hoo Kim See berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada siri inisiatif bantuan Covid-19 untuk masyarakat yang dilaksanakan IJM Group membantu komuniti yang masih terkesan dengan pandemik.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan hanya untk menyokong golongan kurang mampu, tetapi juga bagi memenuhi keperluan sebenar mereka.

“Kami sedar bahawa semua orang telah terkesan dengan pandemik ini, terutama mereka yang mempunyai pendapatan hanya cukup untuk menampung keluarga.

“Kami juga sedar akan komuniti kami yang penat berusaha untuk memenuhi keperluan kehidupan, apatah lagi mereka tidak mendapat bantuan yang diperlukan.

“Di IJM Land, kami komited untuk menyediakan keperluan asas kepada komuniti kami dalam masa yang mencabar ini dan berharap ia dapat memberi kesan positif dalam kehidupan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Kim See berkata, sebagai pemaju hartanah yang menawarkan rumah kediaman selamat dan selesa untuk orang ramai, inisiatif tersebut secara langsung bertepatan dengan cogan kata IJM Land, We Make Good Better dengan berkongsi rezeki kepada masyarakat yang memerlukan.

Kata beliau, IJM Land gembira dapat bekerjasama dengan rakan kongsi seperti N9 Faith Hope Love dalam usaha membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kami bersyukur dapat membantu meringankan beban mereka pada pada waktu yang sukar ini. Kami akan meneruskan usaha seperti ini untuk menyokong komuniti yang kurang bernasib baik supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa sambil memberi kesan positif kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×