PETALING JAYA: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) memeterai memorandum perjanjian dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei (UNISSA) bagi menawarkan program persijilan IBFIM yang bakal meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang kewangan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, perjanjian tiga tahun itu pada dasarnya adalah untuk menawarkan program pensijilan Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) kepada pelajar dan tenaga pengajar UNISSA.
Ujarnya, langkah ini merupakan usaha jangka panjang untuk membangunkan modal insan kewangan Islam di peringkat Global.
“Pensijilan ini menjadi nilai tambah dalam memastikan graduan lebih berdaya saing dan kebolehpasaran graduan.
“Melalui jalinan strategik ini, bukan sahaja program sedia ada dapat ditawarkan, tetapi akan memberi peluang untuk program-program baharu di bangunkan secara bersama khususnya dalam bidang-bidang seperti kelestarian, teknologi dan kewangan sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas memeterai memorandum secara maya, semalam.
Majlis itu di saksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah; Ahli Lembaga Pengarah IBFIM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi; dan Rektor UNISSA, Dr Norarfan Zainal.
Memorandum perjanjian itu adalah susulan memorandum persefahaman yang telah ditandatangani pada tahun 2017 yang telah menyaksikan 19 graduan dan tiga pensyarah UNISSA memperoleh pensijilan AQIF.
AQIF yang diakreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) juga telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Brunei.
Menurut Yusry, kerjasama ini diharap dapat memacu perkembangan industri kewangan Islam di Brunei sebagai negara yang berada di kedudukan ke-15 teratas di antara institusi kewangan Islam dunia selaras dengan aspirasi negara Brunei untuk menjadi salah sebuah hab kewangan Islam antarabangsa.
“IBFIM dan UNISSA berkongsi aspirasi yang sama untuk melahirkan graduan yang terlatih dan mencapai tahap kebolehpasaran dalam kewangan Islam bukan sahaja di Brunei malah di peringkat antarabangsa.
“Kami berharap usaha ini juga akan mengeratkan lagi kerjasama di antara Malaysia dan Brunei,” ujarnya. – UTUSAN










