PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLIB) telah menyelesaikan latihan pensekuritian sosial mampan bernilai RM300 juta kepada perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Berhad (Cagamas).
Urus niaga itu melibatkan tiga tahun pensekuritian sosial lestari untuk pinjaman perumahan dan pembiayaan HLB dan HLIB masing masing bernilai RM200 juta dan RM100 juta.
Menurut bank itu, aset pembiayaan rumah mampu milik itu adalah antara asetnya yang layak secara sosial memenuhi kriteria sosial dan tadbir urus (ESG) bank itu dan Cagamas yang ketat.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, aset sosial yang mampan itu adalah sebahagian daripada agenda kelestarian dan ESG bank berkenaan.
“Ia termasuk pengintegrasian pertimbangan ESG dalam rantai nilai produk perbankan dan perkhidmatan yang akan memberi kesan lebih positif terhadap keperluan persekitaran dan sosial.
“Terdapat permintaan yang meningkat daripada para pelabur dan juga pelanggan untuk produk kewangan dan pelaburan yang lestari termasuk pembiayaan perumahan mampu milik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ia telah mendorong pihaknya untuk melakukan transaksi, fokus kepada ESG, yang juga merupakan inisiatif untuk mempromosi dan mengembangkan pasaran bon ringgit dengan penawaran bon yang mampan secara sosial dan berkualiti tinggi.
Jelasnya, ia juga akan menarik pelabur dengan mandat ESG untuk menggunakan modal ke arah pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial di negara ini.
Domenic berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Cagamas dalam pensekuritian lestari sosialnya yang pertama.
“Sementara pembiayaan jenis itu semakin berkembang, kami akan mencari cara lain untuk melakukan lebih banyak pensekuritian lestari secara sosial terhadap pembiayaan jenis lain,” katanya. – UTUSAN










