PETALING JAYA: KLCCP Stapled Group mencatatkan prestasi yang lebih baik pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu dengan hasil berjumlah RM280.2 juta, meningkat 4.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Menurut syarikat itu, keuntungan sebelum cukainya (PBT) turut meningkat lima peratus kepada RM172.1 juta berbanding RM163.8 juta pada suku kedua tahun lalu.
Sehubungan itu, syarikat tersebut mengisytiharkan dividen 7 sen setiap sekuriti asasi untuk suku tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan dividen untuk separuh pertama 2021 sebanyak 14 sen.
“Prestasi suku kedua tahun ini meningkat berbanding suku sama tahun lalu sebahagian besarnya disebabkan prestasi lebih baik segmen runcit dan hotel pada April, sebelum peningkatan kes Covid-19 pada Mei menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun.
“Segmen pejabat di Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi kekal stabil dan menerima impak minimum, disokong oleh sewaan jangka panjang terjamin dan Pajakan Bersih Tiga Kali Ganda (TNL) Menara Berkembar Petronas dan Menara 3 Petronas.
“Walau bagaimanapun, hasil dan PBT menyusut sebanyak 2.7 peratus dan 2.9 peratus masing-masing berbanding suku sama 2020, sebahagian besarnya disebabkan pelarasan perakaunan bagi disesuaikan dengan lanjutan perjanjian TNL untuk Menara Berkembar Petronas dan Menara 3 Petronas untuk 15 tahun lagi,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP, Md. Shah Mahmood berkata, tempoh berbaki tahun ini akan terus mencabar disebabkan pandemik Covid-19 namun dijangka boleh diatasi dengan perkembangan positif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Kata beliau, pemulihan segmen hotel dan runcit akan dipengaruhi kelonggaran sekatan pergerakan.
“Kami akan terus fokus dalam mengutamakan keseluruhan kesihatan dan keselamatan warga kami dan bekerja ke arah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) serta menjadikan ruang dalam Presint KLCC terlindung daripada ancaman Covid-19.
“Ini bagi membolehkan penyewa, pelanggan, tetamu hotel dan komuniti sekeliling kami berasa selamat dan terlindung apabila kembali ke bangunan pejabat, runcit dan hotel kami,” katanya. – UTUSAN










