Google Analytics untuk pemasaran digital - Utusan Malaysia

Google Analytics untuk pemasaran digital

GOOGLE Analytics merupakan salah satu platform analitik yang dipercayai seluruh dunia dalam menjana laporan dan maklumat keberadaan trafik pengunjung pada sesebuah laman sesawang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAJUAN era Internet Kebendaan (IoT) pada hari ini telah membuka landasan baharu kepada setiap perniagaan terhadap kepentingan menguasai potensi pasaran secara dalam talian untuk terus bersaing dan berkembang maju. Penguasaan prospektus digital ini turut mempengaruhi tindakan dalam membangunkan strategi pemasaran yang berkesan bagi menjayakan aspirasi keusahawanan serta perniagaan.

Atas faktor tersebut, kepentingan laman sesawang dan e-dagang juga terus relevan sebagai platform yang memainkan peranan penting dalam meluaskan capaian pasaran. Namun, bagi memastikan landasan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya, ia juga memerlukan integrasi pengkalan data bagi menganalisa sumber maklumat yang lebih jelas. Oleh itu, antara kemudahan data analitik yang tersedia sebagai sumber rujukan di ruangan digital ini adalah Google Analytics.

Ia merupakan platform atau tool yang diperlukan bagi memantau prestasi sesebuah laman sesawang dan e-dagang dalam memperkukuh potensi pasaran digital. Platform ini berfungsi memantau dan merekodkan aliran trafik ke sesebuah laman sesawang bagi memahami trend pengunjung merangkumi jumlah, kadar kekerapan, sumber kunjungan, data demografi, termasuk data informasi berkaitan halaman popular atau kandungan yang sering dikunjungi.

Landasan ini memberikan pemahaman atau insight yang bernilai kepada pengusaha dan organisasi perniagaan terhadap keberadaan laman sesawang dalam konteks pasaran yang terkait dengan produk atau perkhidmatan beserta input kandungan yang diketengahkan. Secara tidak langsung, data yang diperolehi dapat dianalisa dan dijadikan panduan dalam usaha menambah baik strategi pemasaran digital dengan fokus yang lebih bersasar kepada prospek pasaran yang tepat.

Google Analytics merupakan salah satu platform analitik yang dipercayai seluruh dunia dalam menjana laporan dan maklumat keberadaan trafik pengunjung pada sesebuah laman sesawang. Sejak diperkenalkan oleh Google pada 2005, ia sentiasa dinaiktaraf selaras pengembangan transformasi digital. Ia juga mudah diintegrasikan melalui plugin yang boleh dimuat turun secara percuma atau berbayar pada papan pemuka laman sesawang dengan sumber terbuka.

Secara asas, terdapat tiga mekanisme utama yang perlu diperhatikan oleh pengendali laman sesawang dalam memanfaatkan Google Analytics sebagai sumber pengkalan data perniagaan iaitu Audience, Acquisition dan Behavior. Analisa terhadap tiga bahagian ini dapat memberikan gambaran pola pengunjung dalam membantu mengenalpasti potensi pasaran dan prospek pelanggan.

Mekanisme Audience memaparkan data tentang maklumat pengunjung merangkumi jumlah dan trend kunjungan, lokasi serta faktor demografi pasaran seperti usia, jantina dan seumpamanya. Acquisition menjelaskan sumber kunjungan berdasarkan kepelbagaian platform media sosial atau enjin carian yang digunakan pengunjung, manakala Behavior membantu memahami interaksi pengunjung terhadap laman sesawang termasuk halaman yang paling kerap dikunjungi.

Terdapat pelbagai lagi kelebihan Google Analytics yang boleh dimanfaatkan dalam memangkin penambahbaikan berterusan terhadap struktur dan prestasi laman sesawang serta pemilihan input kandungan yang menyokong strategi pemasaran digital secara kos efektif. Ia juga menjadi landasan dalam memperkukuhkan lagi establishment pasaran dan kredibiliti digital di samping menjana pelanggan secara organik atau melalui kempen pemasaran yang bersepadu.

Peningkatan pengguna internet serta peralihan budaya pasaran secara dalam talian juga telah mempengaruhi kepentingan data analitik dalam pembangunan ekonomi digital. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menjangkakan nilai pasaran analitik data raya yang terus meningkat kepada RM7.8 billion menjelang 2025 berbanding RM4.1 billion pada 2021.

Justeru itu, peningkatan dan perubahan trend pasaran ini turut menjelaskan kepentingan data analitik sebagai sebahagian pengkalan data yang bernilai kepada sektor perniagaan. Memanfaatkan kemudahan Google Analytics juga merupakan salah satu kaedah penting dalam pengukuhan strategi mendepani cabaran pasaran digital.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN