IPOH: Sim Leisure Group akan membangunkan Escape Cameron Highlands iaitu taman tema yang bertemakan persekitaran ala Eropah di Cameron Highlands, Pahang yang dijadual dibuka kepada umum pada 2023.
Taman tema itu akan dibangunankan di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands yang menawarkan pengunjung untuk merasai suasana di Eropah.
Antara tarikan di Escape Cameron Highlands ialah 1.2 kilometer cerun luncur ski kering, pemandangan indah bukit-bukit di Cameron Highlands dan pelbagai jenis permainan.
Projek itu akan dibangunkan melalui tiga fasa dengan fasa pertama mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk disiapkan, melibatkan pelaburan RM15 juta dengan dijangka dibuka pada separuh pertama 2023.
Manakala fasa kedua dan ketiga pula dijalankan kemudian dan tarikan-tarikan baru juga akan diperkenalkan dalam setiap fasa.
Pelaburan keseluruhan projek itu dijangka RM100 juta mengikut fasa dalam tempoh 10 tahun dan ia dijangka menarik 200,000 pengunjung pada tahun pertama operasinya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Escape Cameron yang akan menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia, akan menjadi permulaan kepada kebangkitan semula industri pelancongan domestik yang terjejas teruk selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.
Menurutnya, projek unik itu memperkenal jenama bertaraf dunia yang seratus peratus dari Malaysia dan diilhamkan oleh syarikat yang ditubuhkan di negara ini iaitu Sim Leisure Group, yang telah membina beberapa taman terbaik di seluruh dunia.
“Escape Cameron Highlands bukan hanya akan mengetengahkan tarikan istimewa mereka malah saya dimaklumkan bahawa ia turut menampilkan permainan dan seni bina bertemakan Eropah, bersinergi dengan warisan Eropah di Cameron Highlands serta cuacanya yang lebih sejuk dan sederhana,” menurutnya dalam kenyataan.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian secara maya antara Pengasas Sim Leisure Group dan Taman Tema Escape, Sim Choo Kheng dengan Pengarah merangkap pemegang saham Hektar Muda Sdn. Bhd. (pemilik tapak) Datuk Jimmy Doh.
Menurut Nancy, berdasarkan kejayaan yang dicapai oleh taman Escape sedia ada di Pulau Pinang dan Petaling Jaya, Selangor, kementerian itu yakin Escape Cameron Highlands akan terus menerima pujian serta sokongan daripada pelancong.
“Saya dimaklumkan bahawa jenama Escape baru-baru ini telah membuat penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa di Sri Lanka dan akan diperluas ke seluruh rantau ASEAN serta China.
“Escape akan menjadi duta jenama de facto bagi pelancongan Malaysia di luar negara seperti Disney Park bagi Amerika Syarikat atau Legoland bagi Denmark.
“Pelancong antarabangsa tentu sahaja ingin melihat tempat kelahiran jenama Escape iaitu Malaysia,” katanya. – UTUSAN










