fbpx

25 Oktober 2021, 5:16 am

  TERKINI

Empower ECER beri impak positif

SEKUMPULAN pelajar mengikuti program akademik empower Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang dianjurkan untuk meningkatkan kecemerlangan mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Program akademik empower Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang merupakan sebahagian strategi inklusif kerajaan memastikan generasi muda golongan berpendapatan rendah (B40) mencapai kejayaan, semakin membuahkan hasil.

Ia terbukti apabila 1,736 daripada 1,800 pelajar di bawah program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengurus empower ECER UniSZA, Roslie Zakarya @ Derahman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 751 orang membabitkan pelajar Terengganu manakala 985 pelajar lagi dari Pahang dan Mersing selepas mengikuti program peningkatan kecemerlangan akademik dan motivasi secara percuma sebelum ini.

Malah katanya, apa yang membanggakan, peratusan lulus keseluruhan pelajar Terengganu juga meningkat daripada 45 peratus kepada 98 peratus manakala Pahang dari 45 peratus kepada 92 peratus selepas mengikuti program berkenaan.

“Antara pelajar yang terlibat adalah dari Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Temerloh, Jerantut, Maran, Rompin dan Mersing. Pengajaran dan pembelajaran ketika penularan Covid-19 ini sangat mencabar di kawasan berkenaan. Banyak kelas yang tidak boleh dijalankan secara bersemuka bagi membendung penularan wabak ini.

“Namun, dengan adanya program ini, ia sekali gus tidak mematahkan usaha bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan beberapa agensi lain untuk terus membantu golongan pelajar mendapatkan pendidikan secara percuma.

“Selain UniSZA, empower ECER mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan pendidikan percuma,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

SEORANG pelajar melihat modul program akademik empower ECER.

Dalam pada itu, Roslie berkata, penggunaan modul versi baharu yang dibangunkan bersama guru terpilih, membuktikan usaha UniSZA untuk membantu pelajar terlibat mencapai  keputusan cemerlang.

“Kerjasama dan komitmen daripada JPN, Pejabat PPD, pengetua, fasilitator dalam menjayakan program ini juga sangat tinggi. Kesungguhan para pelajar untuk terus menghadiri kelas  walaupun secara sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membuktikan semangat mereka untuk berjaya dan mengubah nasib keluarga adalah sangat tinggi,” ujarnya.

Program Latihan Akademik empower ECER berjaya membuka peluang kepada pelajar terlibat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, menggunakan pendekatan khusus dan menyeluruh, mencapai keputusan akademik yang lebih baik.

Selain kelas tuisyen bagi subjeksubjek teras, kursus motivasi dan kepimpinan turut diberikan bagi menambahbaik kemahiran interpersonal dan meningkatkan semangat pelajar untuk mencapai kejayaan. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI