Eksport getah melonjak 150 peratus kepada RM44.43 bilion - Utusan Malaysia

Eksport getah melonjak 150 peratus kepada RM44.43 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri getah negara mencatatkan prestasi luar biasa apabila eksport melonjak 150 peratus tahun ke tahun kepada RM44.43 bilion pada separuh pertama tahun ini daripada RM17.77 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, eksport produk hiliran menyumbang sebanyak 89.7 peratus daripada keseluruhan eksport, peningkatan 180.2 peratus tahun ke tahun, dipacu oleh prestasi kukuh hasil lateks, terutama produk sarung tangan.

Beliau berkata, produk sarung tangan getah, benang getah dan kondom melonjak sebanyak 200.1 peratus disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Katanya, MRC menjangkakan permintaan global bagi sarung tangan getah kekal mencatat pertumbuhan dua angka antara 12 hingga 15 peratus tahun ini.

Jelasnya, penggunaan sarung tangan perkapita global tahun ini dijangka meningkat kepada 25 pasang, dipacu oleh peningkatan penggunaan sarung tangan dalam pasaran eksport utama Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta pasaran baharu muncul, terutama di rantau Asia.

“Industri sarung getah negara akan mengekalkan momentum positif dengan eksport diunjur mencecah paras tertinggi baharu tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Islam berkata, MRC juga telah memulakan inisiatif Pameran Produk Getah Malaysia secara Maya untuk memudahkan libat urus perniagaan secara dalam talian membabitkan pembeli antarabangsa dan pengeluar produk getah di negara ini.

Selain itu, katanya, MRC bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) telah memulakan persapan bagi mewujudkan Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia di Arab Saudi.

Bagi tempoh dilaporkan, produk lateks mewakili 93.9 peratus daripada eksport produk getah, sementara bakinya disumbangkan oleh produk getah kering.

“Produk sarung tangan kekal sebagai penyumbang pendapatan eksport terbesar industri getah. Subsektor sarung tangan kebanyakannya meliputi sarung tangan perubatan, mencatatkan pertumbuhan lebih tiga kali ganda atau 210.2 peratus keada RM36.54 bilion pada separuh pertama 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN