PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku kedua tahun ini sebanyak 16.1 peratus daripada -0.5 peratus pada suku pertama.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, prestasi ekonomi disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Jelasnya, pertumbuhan yang kukuh itu juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua tahun lalu.
“Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua namun kemudiannya menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh Fasa 1,” katanya.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah tersebut.
Pada suku tersebut, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan.
Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh.
Bagi asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku pertama yang terjejas akibat langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat.
Seperti dijangka, katanya, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1 peratus pada suku kedua berbanding 0.5 peratus pada suku kedua, disebabkan terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api serta luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik bertingkat.
Inflasi teras pada suku dilaporkan terus stabil pada 0.7 peratus.
Dalam pada itu, BNM menjelaskan, ringgit menambah nilai sebanyak 0.,1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun ini.
“Penambahan nilai itu sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, jangkaan terhadap dasar monetari kembali ke paras yang wajar pada kadar yang lebih cepat berikutan mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) pada Jun, telah menyebabkan pelabur mengimbangi semula portfolio mereka kepada asset dalam denominasi dolar AS pada akhir suku kedua,” katanya.
Sejak 1 Julai lalu, nilai ringgit menyusut sebanyak 1.7 peratus berbanding dolar AS (setakat 9 Ogos).
Penyusutan itu kataya, sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh.
Menurut Nor Shamsiah, memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara. – UTUSAN










