ECERDC berjaya tarik pelaburan RM9.5 bilion ke Pahang - Utusan Malaysia

ECERDC berjaya tarik pelaburan RM9.5 bilion ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang.

Jumlah itu melepasi sasaran awal bagi pelaburan komited untuk Pahang sebanyak RM5.1 bilion pada tahun ini.

Ia dijangka akan mewujudkan lebih 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat negeri itu. ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang tahun ini.

Menurut ECERDC, hasil pelaburan yang amat baik dalam tempoh mencabar ini membuktikan kerjasama erat antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi-agensi berkaitan yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan.

“Pelaburan baharu tersebut merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, perluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap, Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisatif yang dirancang untuk Pahang dapat diteruskan.

“Pelaksanaan projek seperti infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan adalah bagi mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi pelaburan pilihan, agar manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh warga tempatan,” katanya.

Bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk
mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa.

Katanya, antara webinar yang dianjurkan termasuk ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries’ (anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun atau JETRO), Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ (dengan kerjasama wakil-wakil perdagangan dari Persekutuan Rusia) dan ‘Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER’.

“Webinar-webinar pelaburan tersebut telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke ECER dan negeri Pahang,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN