PETALING JAYA: Malaysia merekodkan pendapatan e-dagang sebanyak RM267.6 bilion pada suku kedua tahun ini, peningkatan 23.3 peratus daripada suku sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan transaksi e-dagang itu didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Prestasi hasil sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan positif 20.5 peratus kepada RM404.5 bilion berbanding tempoh yang sama 2020, berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion.
“Itu diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan meningkat 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.
“Segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga mengalami tren yang sama iaitu masing-masing merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion dan lapan peratus kepada RM8.2 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jumlah pekerja dalam sektor tersebut merosot sebanyak 0.7 peratus atau 25,812 orang kepada 3.6 juta berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Mohd. Uzir menjelaskan, kemerosotan itu disebabkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dengan penurunan sebanyak 11,297 orang atau 2.4 peratus diikuti dengan Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan seramai 6,127 orang atau 0.2 peratus.
Ujarnya, manakala segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi menyusut 1.7 peratus atau 4,722 orang. Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga menurun sebanyak 3,616 orang atau 0.2 peratus.
Tambah beliau, berbanding suku sama tahun lalu, gaji dan upah yang dibayar meningkat 0.4 peratus atau RM100.5 juta.
“Peningkatan gaji dan upah itu disumbangkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dengan peningkatan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8 peratus.
“Ia diikuti oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan dan segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan Rekreasi yang masing-masing meningkat sebanyak RM9.3 juta dan RM3.0 juta,” katanya. – UTUSAN










