DRB-HICOM bentuk semula perniagaan - Utusan Malaysia

DRB-HICOM bentuk semula perniagaan

DRB-HICOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan DRB-HICOM sedang mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk membentuk semula perniagaannya agar ia kekal kompetitif dalam persekitaran yang tidak dapat diramalkan.

Jelas DRB-HICOM, sektor automotif masih kekal sebagai teras perniagaannya.

“Dengan pelaksanaan PKP secara menyeluruh yang telah menyebabkan terhentinya penjualan kenderaan, Proton dan jenama kenderaan lain di dalam Kumpulan akan menumpukan usaha untuk menyusun semula rancangan penjualan mereka,” katanya dalam kenyataan sempena laporan kewangan suku kedua 2021.

Menurut DRB-HICOM, sektor automotif merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 52 peratus kepada RM4.5 bilion daripada RM2.87 bilion separuh pertama tahun lalu.

Pencapaian itu sebahagian besarnya didorong oleh prestasi jualan syarikat automotif nasional Proton dan jenama kenderaan lain di dalam Kumpulan.

Ia turut disumbang oleh pendapatan daripada syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn. Bhd. dan HICOM-Teck See Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd.

“Untuk suku kedua 2021, pendapatan dicatatkan berjumlah RM1.78 bilion, meningkat sebanyak RM721 juta atau 68 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

DRB-HICOM berkata, keputusan kerajaan untuk melanjutkan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang sehingga 31 Disember ini, dijangka akan meningkatkan permintaan kenderaan secara keseluruhannya pada tahun ini.

Tambahnya, perniagaan yang lain dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan tunai yang berhemah bagi memastikannya dapat terus bertahan di sebalik lanskap perniagaan yang mencabar disebabkan pandemik.

“Berdasarkan apa yang disebutkan di atas, Kumpulan tetap berhati-hati dengan prestasi kewangannya untuk tahun berakhir 31 Disember 2021 mengambil kira ketidakpastian yang meningkat di sebalik impak ekonomi yang sepenuhnya dari pandemik COVID-19 yang berpanjangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN