PETALING JAYA: Bayo Pay (M) Sdn. Bhd. (Bayo Pay), syarikat kewangan (fintech) tempatan, terus meluaskan perkhidmatannya kepada industri pembinaan melalui aplikasi mudah alih Construx dengan memperkenalkan perkhidmatan kiriman wang dalam talian.
Inisiatif terbaharu itu hasil kolaborasi Bayo Pay dengan MaxMoney Sdn. Bhd. (MaxMoney).
MaxMoney juga merupakan syarikat Malaysia pertama yang memperoleh Lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang, yang dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). Kerjasama itu membolehkan kiriman wang antarabangsa dibuat ke 190 negara.
Menurut Bayo Pay, perkhidmatan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 600,000 pekerja binaan yang memegang Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB (Kad Hijau CIDB) untuk membuat kiriman wang dalam talian ke luar negara.
Jelasnya, selain memanfaatkan kemudahan teknologi digital di hujung jari, pendekatan itu memastikan jaminan keselamatan individu kerana transaksi tidak dilakukan secara fizikal di kaunter ketika pandemik.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memberi penambahbaikan berterusan bagi solusi pembayaran digital dan transaksi untuk industri pembinaan.
“Memandangkan digitalisasi adalah pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negara, Bayo Pay berhasrat menjadi pemeraju utama dalam pelaksanan perkhidmatan pembayaran digital di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Bayo Pay telah mengumumkan Construx Payroll dan Construx e-Wallet yang merupakan sebahagian daripada Program Penambahbaikan Kad Hijau CIDB.
Solusi itu disediakan secara percuma untuk semua syarikat pembinaan dan pekerja binaan yang berdaftar dengan CIDB.
Jelas Bayo Pay, perkhidmatan kiriman wang dalam talian adalah ciri terbaru aplikasi itu yang meluaskan fungsi penggunaan Kad Hijau CIDB dan aplikasi mudah alih Construx untuk pemegang kad tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MaxMoney, A. Abdul Hamid berkata, aplikasi mudah alih Construx membolehkan lebih 600,000 personel binaan terutamanya pekerja asing yang ingin mengirim wang dalam talian dengan segera dan selamat ke negara asal mereka.
MaxMoney adalah pelopor dalam perniagaan perkhidmatan wang di Malaysia dengan pengalaman melebihi 30 tahun. Sementara Bayo Pay pula adalah syarikat fintech tempatan yang dikawal selia oleh BNM di bawah Akta Sistem Pembayaran 2003 dan juga entiti berlesen Mastercard, sebagai pengeluar kad pembayaran Mastercard di Malaysia. – UTUSAN










