Cendana terima peruntukan RM7 juta bagi penggiat seni - Utusan Malaysia

Cendana terima peruntukan RM7 juta bagi penggiat seni

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM7 juta di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) untuk penggiat seni budaya yang berkecimpung dalam seni persembahan, seni visual, muzik independen dan kraf.

Pakej ini merupakan sebuah inisiatif jangka pendek di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang menjana 2,000 peluang pekerjaan tambahan serta peruntukan RM10 juta di bawah Inisiatif Pemulihan Cendana-Penjana yang turut mencipta lebih 3,000 peluang pekerjaan baharu.

Cendana, sebuah unit yang ditubuhkan di bawah MyCreative Ventures Sdn. Bhd., telah dipertanggungjawab bersama dengan MyCreative Ventures untuk mengurus Prisma yang telah dilancarkan pada 5 Februari 2021.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya komited memberi sokongan berterusan kepada sektor seni budaya yang memainkan peranan penting dalam negara.

Ujarnya, tahun lalu, KKMM telah melaksanakan Pelan Penjana untuk industri kreatif dengan jumlah keseluruhan RM225 juta manakala tahun ini, RM89.2 juta telah diumumkan di bawah inisiatif Prisma bagi membantu sektor seni budaya agar terus bertahan dalam fasa pandemik ini.

“Diharapkan usaha berterusan oleh warga KKMM dan agensi seperti MyCreative Ventures dan Cendana dapat meningkatkan dan memartabatkan sektor ini.

“Kami juga berharap dengan adanya suntikan dana yang berterusan, kemudahan pembiayaan, usaha meningkatkan kapasiti, akses kepada pasaran, aktiviti promosi serta penciptaan karya dan peluang baharu, dapat menyumbang kepada pemulihan industri kreatif ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina menegaskan, Cendana tetap komited untuk menyokong pemulihan sektor seni budaya negara.

“Penerima manfaat dari sektor kraftangan kebanyakannya berasal dari Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Perak dan Melaka yang terlibat dalam kerja logam, kraf etnik dan bakul, seramik dan tembikar, kerja kayu, manik, tekstil, tenunan, seni tradisional dan sulaman serta seni kaca.

“Sebanyak 83 peratus daripada penerima ini adalah individu manakala 17 peratus merupakan organisasi.

“Penerima manfaat dari sektor seni budaya kebanyakannya berasal dari Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Sarawak yang terlibat dalam muzik independen, seni persembahan, seni visual dan kraf, membabitkan 75 peratus penerima individu serta 25 peratus organisasi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN