Cagamas umum terbitan agregat RM755 juta - Utusan Malaysia

Cagamas umum terbitan agregat RM755 juta

CHUNG CHEE LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cagamas Berhad mengumumkan penerbitan agregat berjumlah RM755 juta yang turut merangkumi terbitan Nota Kadar Terapung (FRN) setahun pertamanya sejak 2019.

Menurut perbadanan gadai janji nasional itu, terbitan agregat berkenaan melibatkan FRN setahun bernilai RM200 juta; Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) setahun (RM85 juta); Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) setahun (RM25 juta); Kertas Komersial Islamik (ICP) tiga bulan (RM345 juta) dan Kertas Komersial Konvensional (CCP) tiga bulan (RM100 juta).

Katanya, hasil daripada terbitan itu akan digunakan untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan pembiayaan perumahan Islamik daripada sistem kewangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, pihaknya menghargai sokongan daripada pelabur dengan penyimpulan terbitan agregat terbaharu itu dan berpendapat perhatian kepada aset lindungan selamat ketika ini berpunca daripada sentimen kebimbangan terhadap varian Delta Covid-19 yang dilihat dapat melembabkan pemulihan ekonomi global.

Kata beliau, pihaknya yakin terbitan tersebut akan terus mendapat permintaan sementara pemain pasaran tempatan akan terus berwaspada dalam situasi tidak menentu di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyasarkan untuk membina trajektori pertumbuhan menuju masa hadapan.

“FRN setahun tersebut ialah penerbitan FRN pertama syarikat sejak 2019. Ini menggambarkan usaha berterusan syarikat dalam membangunkan pasaran modal daratan melalui penerbitan struktur yang pelbagai, bagi memenuhi keperluan pelaburan yang bervariasi.

“FRN itu diletakkan harga yang kompetitif yang sejajar dengan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan atau bersamaan 1.94 peratus berdasarkan tetapan KLIBOR pada tarikh penentuan harga,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Cagamas, harga terbitan lain juga ditetapkan secara kompetitif mewakili 23 hingga 37 mata asas di atas Bil Perbendaharaan Islam Malaysia, Bil Perbendaharaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dan Sekuriti Kerajaan Malaysia.

Jelasnya, terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat itu sepanjang tahun ini berjumlah RM9.5 bilion.

“Kertas-kertas itu yang akan ditebus pada nilai nominal penuhnya menjelang tempoh matang ialah obligasi tanpa cagaran syarikat yang diletakkan ranking pari passu dan bersama semua obligasi tanpa cagaran syarikat.

“Ia akan disenaraikan dan boleh didagangkan di bawah Sistem Dagangan Sekuriti Scripless,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN