Bursa Malaysia ditutup 0.7 peratus lebih rendah - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup 0.7 peratus lebih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup 0.7 peratus lebih rendah petang ini dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,514.95 susut 10.29 mata mata, sejajar dengan kerugian yang dialami oleh rakan Asia lain seperti Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran Asia terganggu hasil daripada minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan penghapusan rangsangan boleh berlaku pada tahun ini.

“Itu menyebabkan sebilangan pelabur keluar dari pasaran ekuiti dan beralih ke aset yang lebih selamat.

“Dari segi kaunter pula, kaunter sarung tangan getah seperti Hartalega dan Top Glove mencatat kerugian setelah mencatatkan keuntungan pada hari sebelumnya, menjadikan Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia menyusut 1.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujarnya, sentimen domestik secara keseluruhannya dikaburkan oleh kes harian wabak Covid-19 yang mencapai rekod tertinggi setakat ini sebanyak 22,948 kes berbanding 22,242 kes pada hari sebelumnya.

Mengulas lanjut, Adam memberitahu, ringgit lemah disebabkan oleh kebimbangan terhadap pengurangan program pembelian aset Fed AS yang lebih awal dari jangkaan, selepas minit mesyuarat Fed yang terkini diadakan.

Jelas beliau, walaupun pegawai Fed berbelah bahagi untuk menuju ke normalisasi dasar monetari, perbincangan yang mengatakan waktu untuk pembelian aset semakin hampir telah menyebabkan dolar AS lebih kuat berbanding ringgit.

“Susut nilai itu juga disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah Brent, yang didorong oleh kembimbangan mengenai permintaan yang lebih lemah memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat dan mengakibatkan peningkatan yang mengejut dalam inventori petrol AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN