PETALING JAYA: Boustead Holdings Berhad mengumumkan telah melepaskan pegangannya dalam Universiti Nottingham Malaysia (UNM) sebagai sebahagian daripada strategi Membina Semula Boustead.
Menurut syarikat itu, pihaknya telah memasuki perjanjian jualan saham bersyarat dengan Universiti Nottingham, United Kingdom untuk melepaskan pegangan kawalannya sebanyak 66.41 peratus dan sebuah kampus si Semenyih, Selangor bernilai 23.5 juta pound sterling (kira-kira RM137 juta).
Katanya, Universiti Nottingham kini menyasarkan untuk menjadi pemegang saham majoriti UNM dengan pembelian saham Boustead melalui anak syarikat milik penuhnya di Malaysia.
Pengarah Urusan Boustead, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata, pelepasan pegangan itu akan membolehkan syarikat memanfaatkan kekuatan dan sumbernya dengan lebih berkesan dalam menyokong pembangunan pendidikan di Malaysia pada skala yang lebih besar.
Kata beliau, sebagai syarikat milik kerajaan, Boustead akan terus mencipta kerjasama dan kolaborasi yang boleh membantu pihaknya menyediakan bakat masa hadapan khususnya dalam teknologi digital, tenaga boleh baharu dan internet benda.
“Kami akan terus memanfaatkan hubungan sedia ada dengan UNM sementara memupuk hubungan dengan institusi pendidikan tinggi tempatan lain termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang seperti farmaseutikal, perladangan, marin dan aeroangkasa selain minyak dan gas yang selari dengan kekuatan teras Boustead.
“Dengan meletakkan UNM di bawah pentadbiran penuh Universiti Nottingham, kami percaya UNM akan terus mencapai kejayaan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Naib Canselor UNM, Profesor Shearer West berkata, komitmennya kepada UNM dan Malaysia akan terus kukuh.
“Transaksi ini akan membolehkan kami membina asas unik kami dalam pengajaran dan penyelidikan bagi membangunkan program pengajaran dan penyelidikan baharu dan inovatif yang menyokong pembangunan mampan secara tempatan, serantau dan sejagat,” katanya.
CIMB Investment Bank Berhad dan Messrs Zul Rafique & Partners bertindak sebagai penasihat dalam transaksi tersebut. – UTUSAN










