PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan untuk membenarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri-negeri yang berada dalam fasa satu beroperasi dengan segera.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, PMKS sudah terlalu lama ditutup dan mungkin tiada keupayaan untuk terus bertahan lama.
“Kami berharap dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kelangsungan hidup majikan, pekerja dan masyarakat dapat ditangani dengan lebih baik.
“Buat masa ini, kita tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerima hakikat bahawa wabak Covid-19 akan terus berada bersama kita untuk tempoh yang lebih panjang. Justeru, kita perlu mencari jalan terbaik untuk terus kekal sihat dan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai kelonggaran yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Shamsuddin menyokong langkah-langkah itu kerana ia akan membantu memulihkan ekonomi di negeri-negeri fasa dua.
Ujarnya, sektor pelancongan dan restoran-restoran sudah semestinya akan mendapat manfaat menerusi kelonggaran-kelonggaran yang diberikan itu.
“Syaratnya, mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang membuktikan mereka menerima vaksinasi lengkap.
“Kami berharap pihak kerajaan akan mengumumkan lebih banyak kelonggaran bagi sektor ekonomi yang lain,” kata Shamsuddin.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan itu akan banyak membantu perniagaan restoran.
Jelasnya, langkah itu membolehkan jualan pemilik restoran mencapai lebih 50 peratus berbanding menggunakan perkhidmatan penghantaran yang hanya mampu meraih 10 hingga 15 peratus sahaja.
“Saya ingin mencadangkan supaya penentuan fasa dua boleh diklasifikasikan mengikut daerah. Sebagai contoh, di Jasin, Melaka, tiada kes wabak Covid-19, jadi ia sepatutnya boleh beransur ke fasa dua.
“Selain itu, kami turut mengalu-alukan kelulusan untuk beriadah bagi semua kawasan fasa dua kerana sudah banyak kes bunuh diri dan kekecewaan yang tidak dapat ditangani dengan hanya duduk di rumah,” katanya.
Abd Halim memberitahu, mereka perlu keluar untuk menghirup udara yang segar dan beriadah bagi menghilangkan tekanan hidup yang dihadapi. – UTUSAN ONLINE









