PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) bagi meningkatkan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, kerjasama strategik terbaharu itu bakal memberi manfaat kepada pelanggan PKS bank tersebut untuk menyertai Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah (SSFS).
Ujarnya, kerajaan menerusi SME Corp. telah memperuntukkan rebat keuntungan sebanyak dua peratus berjumlah RM4 bilion kepada pembiayaan PKS di bawah inisiatif berkenaan.
“Sejak skim pembiayaan ini dimulakan pada 2013, Bank Islam telah menyokong 121 pelanggan PKS dengan nilai pembiayaan berjumlah lebih RM133 juta.
“Dengan penawaran komprehensif yang memberi manfaat kepada PKS, kami berhasrat untuk meningkatkan jumlah ini susulan pemeteraian MoU kali ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis MoU yang dijalankan secara maya, semalam.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan Bank Islam, Mizan Masram dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy, dengan disaksikan Pengerusi SME Corp., Datuk Seri Syed Hussein Al-Habshee dan Ketua Perbankan PKS Bank Islam, Rizal Yusof.
Menurut Mohd. Muazzam, Bank Islam turut memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan patuh syariah bagi memenuhi pelbagai keperluan pelanggan seperti modal kerja dan perbelanjaan modal, pembiayaan perdagangan, kemudahan bantuan kewangan, bancatakaful, pengurusan tunai serta penyelesaian perbankan elektronik.
Jelasnya, Bank Islam juga akan melancarkan aplikasi mudah alih SMEXpert yang menyokong seluruh ekosistem PKS dengan menyediakan sumber perniagaan dan kewangan.
“Kemudahan yang disediakan ini bertujuan memberi peluang yang lebih baik kepada mereka dalam aspek pertumbuhan dan kemampanan perniagaan.
“Pakar-pakar perniagaan daripada pelbagai sektor di bawah program Panel Penasihat Pakar PKS (SEAP) oleh SME Corp. akan bergabung dengan SMEXpert sebagai penasihat komuniti platform ini,” ujarnya.
Sementara itu, Syed Hussien memaklumkan, kerjasama strategik itu merupakan sebahagian usaha proaktif dalam memberikan peluang perniagaan kepada PKS yang layak di negara ini.
“Dengan memanfaatkan platform niaga-ke-niaga (B2B) yang ditawarkan Bank Islam serta sokongan pembiayaan yang dinyatakan dalam MoU, kami berharap inisiatif berkaitan dapat membantu PKS dalam usaha mengekalkan perniagaan mereka terutamanya pada masa mencabar ini.
“Selain itu, kerjasama ini juga memberikan akses kepada PKS untuk menyertai pelbagai inisiatif program latihan, program penganugerahan dan sumber daya lain, serta produk dan perkhidmatan kewangan menyeluruh sekali gus meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka dalam pasaran kompetitif hari ini,” tambahnya. – UTUSAN









