Angkasa komited jayakan TransKom, DKN2030 - Utusan Malaysia

Angkasa komited jayakan TransKom, DKN2030

ABDUL Fattah Abdullah merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Pulau Pinang secara maya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengukuhkan komitmennya untuk menjayakan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) dan Dasar Keusahawan Nasional (DKN2030).

Ia bagi membantu merealisasikan agenda kerajaan untuk memacu gerakan koperasi menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Angkasa berkata, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan, perkembangan dan kemajuan koperasi di negara ini masih stabil biarpun berdepan pandemik yang berpanjangan.

Katanya, berdasarkan perangkaan SKM, jumlah koperasi meningkat kepada 14,629 tahun lalu daripada 14,625 tahun sebelumnya.

Jumlah keahlian juga katanya, meningkat daripada 6.1 juta kepada 6.5 juta pada akhir tahun lalu.

“Bagaimanapun, jumlah perolehan menurun daripada RM45.8 bilion pada 2019 kepada RM41.4 bilion akhir 2020,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Angkasa merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah, data itu jelas menunjukkan bahawa, koperasi terus kekal utuh dalam memainkan peranan dan tanggungjawabnya menjadi jentera pembangunan ekonomi rakyat dan negara, biarkan berdepan krisis kesihatan yang membawa membawa kepada krisis ekonomi berskala global.

“Ini juga merupakan petanda bahawa koperasi terus kekal mendapat sokongan rakyat dalam usaha membangunkan keusahawanan yang digerakkan secara bersama tanpa monopoli satu pihak, yang pada akhirnya menyumbang manfaat kepada anggotanya sama ada untuk keperluan sosial mahupun ekonomi,” katanya.

Abdul Fattah sebelum itu merasmikan Mesyuarat Agung Negeri Pulau Pinang 2021 yang diadakan secara maya berikutan pandemik Covid-19, di Ibu Pejabat Wisma Ungku A. Aziz. Kelana Jaya dekat sini.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas peranan dan sokongan berterusan dalam menyediakan dasar serta polisi yang mesra koperasi.

Menurut Angkasa, Mesyuarat Agung Negeri (MAN) 2021 bermula semalam, hingga 23 September ini, mengikut giliran dimulai dengan Mesyuarat Agung Negeri Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN