Anak syarikat Minetech dapat projek RM11.3 juta - Utusan Malaysia

Anak syarikat Minetech dapat projek RM11.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Minetech Resources Berhad (Minetech) mengumumkan, anak syarikat milik penuhnya, Minetech Construction Sdn. Bhd. (MCSB), telah menerima surat anugerah (LOA) daripada Wangsa Keringat Development Sdn. Bhd. (Wangsa) untuk melakukan reka bentuk dan pembinaan jalan bertingkat di Selangor bernilai kira-kira RM11.3 juta.

Kerja tersebut adalah sebahagian daripada projek kondominium empat blok dilaksanakan oleh Wangsa, yang terlibatkan dalam pembinaan awam, pembangunan hartanah dan pengurusan projek untuk sektor swasta, dengan portfolio kontrak lebih daripada RM500 juta.

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, Minetech teruja untuk bekerjasama dengan Wangsa berikutan penerimaan LOA oleh MCSB.

Beliau berkata, projek itu akan membantu bahagian pembinaan Minetech berkembang.

Katanya, syarikat akan terus memanfaatkan kepakarannya untuk mendapatkan projek yang akan memperkuat portfolio di bahagian pembinaan syarikat.

“Kami percaya industri pembinaan domestik akan stabil pada tahun ini dan kami ingin memanfaatkan setiap peluang untuk merealisasikan potensi syarikat dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan.

Minetech ditubuhkan pada 1977 sebagai syarikat perkhidmatan penggerudian dan peledakan. Sejak itu syarikat berkembang menjadi satu daripada syarikat perlombongan agregat terbesar di Malaysia.

Selain perlombongan tradisional, Minetech juga terlibat dalam pembuatan, kejuruteraan awam, kerja tanah, projek turapan jalan dan pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN