AEON Credit dapat kelulusan beli syarikat broker insurans - Utusan Malaysia

AEON Credit dapat kelulusan beli syarikat broker insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Credit Service (M) Berhad mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam saham Insurepro Sdn. Bhd.

Ia mewakili 1.44 juta saham biasa baharu untuk pertimbangan tunai bernilai sehingga RM1.7 juta (penjualan saham).

AEON Credit memaklumkan, ia tertakluk kepada potensi pelarasan tertentu sebaik sahaja penjualan saham dan ketekunan wajar dimuktamadkan, di samping terma dan syarat yang disediakan dalam perjanjian penjualan saham yang dimeterai antara AEON Credit serta Trans Dimension Sdn. Bhd.

“Penjualan saham dijangka akan diselesaikan menjelang akhir Oktober 2021 dan Insurepro akan menjadi anak syarikat milik penuh AEON Credit sebaik ia muktamad,” kata AEON Credit dalam kenyataan.

Insurepro, sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat1965 dan dilesenkan oleh BNM, pada dasarnya terlibat dalam pembrokeran insurans dan takaful dengan fokus perniagaan utama untuk menyediakan perkhidmatan insurans yang komprehensif kepada industri strategik dan khusus di Malaysia, terutamanya Sarawak.

Pengambilalihan itu akan membolehkan AEON Credit mengembangkan perniagaan insuransnya melalui platform pembrokeran di bawah Insurepro untuk pengedaran insurans komersial dan produk insurans peribadi, termasuk produk insurans hayat dengan memanfaatkan rangkaian Runcit Kumpulan AEON dan sistem Eco. 

Syarikat merancang untuk menawarkan produk insurans daripada beberapa syarikat pengendali takaful melalui Insurepro untuk memenuhi keperluan pengguna dan sektor perniagaan di Malaysia. 

Pada masa ini, pendapatan keseluruhan yang diperoleh daripada insurans adalah kurang lima peratus daripada jumlah pendapatan syarikat dan pengambilalihan ini merupakan potensi besar untuk berkembang memandangkan potensi permintaan insurans yang meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN