PETALING JAYA: Sebanyak 82 peratus daripada hampir 35,000 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Semenanjung dan Sabah telah menerima dos kedua suntikan vaksin Covid-19.
Ia hasil kesedaran yang tinggi warga kerja TNB dan syarikat utiliti itu untuk bersama-sama negara serta rakyat membendung penularan wabak tersebut.
Ini kerana, sebahagian besar warga kerja TNB perlu berada di lapangan iaitu di seluruh rantaian tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan, demi keselesaan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, menyedari harapan negara dan rakyat terhadap peranan tersebut, TNB melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin kakitangannya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Pada masa sama, TNB juga berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan warga kerja yang bertugas di barisan hadapan untuk mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.
“Kempen dalaman ini berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja kami.
“Alhamdulillah, mereka mendaftar secara sukarela berikutan wujudnya kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan Covid-19 pada diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Baharin, selain kempen dalaman, syarikat turut menubuhkan pasukan bertindak, khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi anggota kerjanya.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang membantu pasukan bertindak itu mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB.
Begitu juga Kerajaan-kerajaan Negeri dan Pejabat Kesihatan negeri-negeri yang memberi kerjasama serta memudahkan barisan hadapan TNB di negeri-negeri mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.
“Bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) TNB telah menetapkan hanya warga kerja yang telah menerima vaksin dibenarkan bekerja di lapangan.
“TNB juga memandang serius keperluan warga kerja kami mendapatkan suntikan vaksinasi kerana ia dapat membantu usaha negara memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN










