PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad menyediakan lebih 5,000 dokumen hibah harta bercagar untuk pelanggannya sepanjang tahun kewangan 2020/2021, menjadikannya sebagai peneraju segmen hibah tersebut di Malaysia.
Syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia itu berkata, jumlah itu menjadikan jumlah pelanggan keseluruhan hibah harta bercagar terkumpulnya sejak pengenalan perkhidmatan itu pada 2015 seramai 25,000 pelanggan.
Katanya, jumlah itu merupakan 40 peratus dari jumlah keseluruhan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan hibah dengannya sejak 2004.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, hibah harta bercagar merupakan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe yang paling mendapat sambutan masyarakat dalam tempoh enam tahun.
Kata beliau, perkhidmatan hibah harta bercagar Wasiyyah Shoppe mencatatkan peningkatan hampir 100 peratus berbanding tahun kewangan 2019/2020 walaupun negara dilanda pandemik sejak tahun lalu.
Beliau menjelaskan perkhidmatan hibah harta bercagar daripada syarikatnya menjadi pilihan kerana pengalaman dan kekuatan ilmiahnya yang menjamin dokumen itu berkuat kuasa dari segi undang-undang dan seterusnya mencapai hasrat pelanggan.
“Banyak pihak berpandangan hibah harta bercagar ini tidak sah dari segi hukum. Walaupun panel syariah kami telah berijtihad pada 2015 hibah ini adalah sah, bagi mendapatkan lebih kejelasan, Wasiyyah Shoppe telah menjalankan penyelidikan ilmiah bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2017 untuk mengkaji secara mendalam topik ini.
“Dapatan penyelidikan kami menunjukkan bahawa hibah harta bercagar adalah sah namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti kewujudan perlindungan takaful dan keizinan pembiaya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Wasiyyah Shoppe, dapatan penyelidikan itu telah diaplikasikan dalam perkhidmatannya pada 2017, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor hibah harta bercagar di Malaysia.
Dapatan itu juga disokong apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada Mei lalu mewartakan bahawa hibah untuk harta bercagar adalah sah dengan syarat perlindungan takaful dan keizinan pembiaya.
Wasiyyah Shoppe yakin dengan kemampuan perkhidmatan hibah harta bercagarnya dan menjangkakan mampu mencapai sasaran 8,000 pelanggan pada tahun kewangan 2021/2022. – UTUSAN










