SIDANG KEMUNCAK EKONOMI MALAYSIA 2021
PETALING JAYA: Malaysia berhasrat meningkatkan ekonomi negara lebih kompleks dengan memastikan ia dibangunkan berdasarkan industri berasaskan kemahiran.
Menteri Kanan (Perdagangan), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangunan ekonomi era baharu negara memerlukan kemampuan produktiviti yang signifikan bagi membangunkan dan mewujudkan produk serta perkhidmatan bernilai tinggi.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan, negara telah merangka lima Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk berperanan sebagai rangka kerja dalam merancakkan kembali landskap pelaburan negara serta memacu daya saing jangka panjang negara.
“Kerajaan mahu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia bagi memastikan rakyat dilengkapi dengan kemahiran yang secukupnya untuk ekonomi masa depan
“Kita juga mahu memperluas hubungan domestik melalui penyepaduan dengan ekonomi serantau dan memperkasa lebih banyak perniagaan tempatan untuk menyertai rantaian nilai global.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2021: Memacu produktiviti dan pertumbuhan selepas pandemik Covid-19 anjuran Strategic Institute for Asia Pacific (KSI),secara maya hari ini.
Teks ucapan Mohamed Azmin dibacakan oleh Timbalan Menteri MITI, Datuk Lim Ban Hong.
Menurut Mohamed Azmin, kerajaan juga berhasrat untuk mengembangkan kluster baharu dan sedia ada yang memainkan peranan penting dalam mendorong limpahan ekonomi, iaitu kunci untuk manfaat ekosistem yang menyeluruh.
“Kami mahukan pelaburan yang memiliki hasrat untuk berkembang ke seluruh rantau ASEAN. NIA membuka potensi penuh Malaysia yang secara asasnya mengurangkan halangan untuk mengakses serta menyepadukan ekonomi dengan lebih baik.
“Kami sudah melihat hasil pertama dari NIA dengan pelaburan yang diluluskan bernilai RM80.6 bilion dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi suku pertama tahun ini, melonjak 95.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, ekonomi Malaysia kini berada di laluan pemulihan dan diunjur mencatat pertumbuhan lebih baik tahun ini, didorong peningkatan permintaan global, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang lebih tinggi serta sokongan dasar berterusan.
Jelasnya, asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berada dalam tempoh mencabar, didukung struktur ekonomi yang pelbagai.
“Ini juga ditunjukkan dalam pemulihan situasi pasaran tenaga buruh dan pengeluaran lebih tinggi dalam sektor pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik serta minyak dan gas.
“Peningkatan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi akan lebih disokong oleh kitaran meningkat teknologi global yang baik, sokongan dasar daripada pelbagai langkah fiskal dan monetari termasuk pakej rangsangan ekonomi tambahan,” ujarnya. – UTUSAN










