Teksi udara di Subang? - Utusan Malaysia

Teksi udara di Subang?

MODEL teksi udara yang dilaporkan sedang dibangunkan oleh sebuah syarikat teknologi di luar negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mungkinkah Malaysia bakal memiliki teksi udara atau teksi terbang pada masa hadapan?

Ini berikutan langkah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) tiga pihak dengan peneraju pereka dan operator infrastruktur vertiport untuk teksi udara, Skyports dan perintis mobiliti udara bandar (UAM), Volocopter.

Menurut syarikat pengurusan lapangan terbang itu, kerjasama itu untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan operasi vertiport di Malaysia.

Vertiport merupakan lapangan terbang yang direka khusus untuk pengangkutan udara yang mendarat secara menegak yang direka khusus untuk UAM atau lebih umum, pengangkutan udara termaju (AAM).

MAHB berkata, sebagai langkah pertama, ketiga-tiga pihak akan menggabungkan kepakaran penerbangan dan aeroudara masing-masing untuk mengkaji penyelesaian vertiport yang sesuai bagi membolehkan pelancaran dan pendaratan yang selamat untuk kenderaan elektrik dengan mengambil kira faktor permintaan, aliran pelanggan dan kaedah mengintegrasikan operasi UAM.

Mohd. Shukrie Mohd. Salleh – UTUSAN/ AMIR KHALID

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, teknologi teksi udara dan revolusinya merupakan perkara yang dilihat berlaku dalam industri penerbangan Malaysia dan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk menerokanya memandangkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang menawarkan ekosistem sinergi antara penerbangan dengan sektor aeroudara.

“Volocopter dan Skyports, kedua-duanya ialah peneraju dalam bidang masing-masing, iaitu AAM dan kami berharap untuk menjadikan kedudukan LTSAAS sebagai lapangan terbang kalis masa hadapan di Asia Pasifik dengan menyediakan penyelidikan, penyusunan, pembuatan serta penyelenggaraan, pembaikian dan pengubahsuaian (MRO) sebagai tambahan kepada operasi teksi kami.

“Objektif kami adalah untuk menyediakan kebolehan dan penyelesaian hujung ke hujung, bernilai sederhana ke tinggi yang akan dikemudi oleh operator bertaraf tertinggi,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Menurut MAHB, rantau Asia Pasifik dijangka memegang kira-kira 45 peratus pasaran AAM menjelang 2035, bernilai RM40.30 bilion (AS$9.5 bilion).

Katanya, kerjasama yang menjadi sebahagian daripada pelan regenerasi lima tahun LTSAAS itu akan meneroka kebolehlaksanaan perkhidmatan teksi udara elektrik di LTSAAS selain lokasi lain dalam Malaysia, meletakkan negara antara peneraju dalam rantau ini dari segi kesediaan untuk mengimplementasikan UAM.

“Regenerasi LTSAAS akan menawarkan pelbagai peluang pembangunan kepada pemain industri penerbangan dan aeroudara seluruh dunia, sekali gus menyambut niat asal kerajaan untuk menjadikan LTSAAS sebagai kedua-dua pusat aeroudara antarabangsa dan hab perniagaan penerbangan,” kata Mohd. Shukrie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×