Swasta berminat biayai projek MRT3 - Utusan Malaysia

Swasta berminat biayai projek MRT3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mass Rapit Transport Cord Sdn. Bhd. (MRT Corp) telah menerima beberapa cadangan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk projek Mass Rapid Transit Line 3 (MRT 3).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Mohd. Zarif Hashim, pihaknya masih membuat penilaian kebaikan skim PFI untuk pembiayaan projek berkenaan.

“Oleh kerana itu, MRT Corp perlu meminda garis masa untuk proses tender pakej pertama projek. MRT Corp. akan mengumumkan tarikh baharu untuk tender tersebut pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

MOHD. Zarif Hashim dalam sesi taklimat projek MRT3 pada April lalu. – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO

Beliau berkata, proses Permintaan Maklumat (RFI) yang bermula pada 9 April lalu telah selesai dengan lebih 40 penyertaan oleh pemain utama industri di Malaysia telah diterima setelah tempoh penyerahan berakhir 25 Mei lalu.

“Kami telah berhubung dengan pemain-pemain yang terlibat dalam proses RFI tersebut dan kami telah memberi maklum balas mengenai maklumat yang diberikan,” katanya.

Tambah Mohd. Zarif, proses RFI adalah untuk membolehkan MRT Corp mengukur minat, kapasiti dan kemampuan pemain-pemain tempatan industri pembinaan bagi projek tersebut.

Jelasnya, maklumat tesebut akan membantu syarikat dalam mewujudkan struktur terbaik untuk projek berkenaan.

Menurut laporan media, MRT Corp sebelum ini meramalkan untuk menjadualkan tender proejk MRT3 pada Ogos ini, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

Malah, syarikat itu juga telah mengemukakan RFI kepada pemain industri susulan perancangnnya untuk mengubah kaedah pembinaan dan ingin mendorong perkembangan teknologi tempatan.

Kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk memulakan semula projek MRT3 di Lembah Klang pada pertengahan tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dilaporkan berkata, MRT laluan Putrajaya fasa satu dari Sri Damansara Sentral ke stesen Kampung Batu dijangka mula beroperasi pada Ogos ini setelah semua operasi ujian, pentauliahan dan percubaan selesai.

Menurut beliau, kemajuan keseluruhan jajaran Putrajaya pada masa ini adalah 87 peratus sementara kemajuan untuk bahagian fasa satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu adalah 97 peratus, merangkumi 12 stesen dari jumlah keseluruhan 36 stesen.

Projek MRT3 adalah kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2 untuk rangsangan ekonomi membabitkan jajaran sepanjang 40 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN