PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad menyaksikan permintaan yang tinggi bagi pembangunan rumah teres dua tingkat berpengawal fasa pertama di Senadi Hills, Iskandar Puteri, Johor dengan hampir semua unit terjual dalam tempoh setahun selepas dilancarkan.
Sejak dilancarkan Julai tahun lalu, Fasa 1A Senadi Hills telah mencatatkan lebih daripada 85 peratus jualan akhir, manakala Fasa 1B juga mempunyai kadar penjualan yang memberangsangkan dengan 75 peratus hanya selepas beberapa bulan pelancarannya.
Menurut UEM Sunrise, sambutan itu membuktikan keyakinan pelanggan terhadap kualiti dan nilai produk UEM Sunrise di wilayah selatan.
Jelasnya, Senadi Hills yang mempunyai keluasan seluas 62 ekar merupakan komitmen UEM Sunrise terhadap permintaan untuk rumah peribadi dan berpengawal untuk pelbagai generasi keluarga dengan taman-taman landskap yang indah di halaman rumah.
Katanya, projek pembangunan kediaman itu berstatus pegangan kekal dengan akses ke lebuh raya dan lokasi yang berhampiran dengan pusat beli-belah, kemudahan kesihatan, institusi pendidikan dan kemudahan rekreasi.
“Senadi Hills juga menawarkan Keselesaan, Kemudahan dan Kehidupan saling berhubung antara penghuninya,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua Fasa 1A dan Fasa 1B masing-masing merangkumi 112 unit dan 120 unit daripada keseluruhan 398-unit kediaman yang ditawarkan di perumahan komuniti berpengawal eksklusif.
Keluasan unit bermula dari 2,088 kaki persegi dengan Harga bermula dari RM623,900 dan termasuk diskaun 15 peratus untuk pembeli bumiputera.
Ketua Pegawai Operasi UEM Sunrise (Wilayah Selatan) Zamri Yusof berkata, permintaan terhadap Senadi Hills adalah amat menggalakkan.
“Walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi dan penutupan sempadan, ini menunjukkan bahawa pelanggan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kami dalam menghasilkan produk yang berkualiti dengan nilai berpatutan dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Senadi Hills yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM411 juta, terletak berhampiran kemudahan dan tempat-tempat menarik seperti Legoland Malaysia, Mall of Medini, Gleneagles Medini, AEON Bukit Indah dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, serta pelbagai laluan utama yang menghubungkan bandar raya sekitarnya. – UTUSAN










