PETALING JAYA: Haily Group Berhad (Haily) telah memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities dengan premium 11 sen atau 16.18 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) 68 sen sesaham kepada 79 sen, dengan jumlah dagangan sulung sebanyak 7.19 juta saham.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Mohd. Jaffar Awang Ismail berkata, penyenaraian itu adalah tonggak sejarah yang penting bagi Haily kerana berjaya membawa Kumpulan itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Semuanya bermula dari peringkat awal yang sederhana oleh Pengasas kami, See Tin Hai dan Kik Siew Lee pada 2007.
“Saya percaya pelaksanaan penyenaraian itu akan membantu membuka potensi Kumpulan dengan meningkatkan reputasi kami ketika menyasarkan perkhidmatan pembinaan dan memperluas asas pelanggan kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena majlis penyenaraian yang dibuat secara maya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Haily, Yoong Woei Yeh; Pengarah Eksekutif Haily, Tan Sui Huat dan Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutifnya, Ong Kheng Swee.
Mohd. Jaffar menjelaskan, pihaknya turut mempunyai projek sedang berjalan yang dapat menyokong Haily sehingga 2023.
Ujarnya, pada masa ini, Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan dan dua projek pembinaan yang berkaitan dengan kejuruteraan awam. Keseluruhan nilai kontrak terjamin dan nilai kontrak belum dibil pada 10 Jun 2021, masing-masing berjumlah RM460.04 juta dan RM249.58 juta.
Semasa majlis penyenaraian itu, beliau memberitahu Kumpulan merancang untuk terus menumpu kepada kelebihan utamanya dalam pembinaan bangunan di Johor sambil memanfaatkan pengalaman bagi memperluas jangkauan ke daerah lain.
“Kumpulan akan dapat memanfaatkan kemampuan kami sebagai kontraktor Gred G7 yang membolehkan kami menawar dan melaksanakan sebarang saiz projek pembinaan bangunan tanpa mengira nilai kontrak.
“Setakat ini, Haily telah menyiapkan sejumlah 65 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak sebanyak RM1.29 bilion sejak 2008,” jelasnya.
Haily pada dasarnya adalah kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, khususnya di Johor, dan juga terlibat dalam penyediaan sewaan mesin pembinaan.
IPO Kumpulan melibatkan terbitan awam sebanyak 30.00 juta saham pada harga 68 sen setiap satu dan menjana hasil kasar sebanyak RM20.40 juta.
Daripada 30.00 juta saham itu, ia menawarkan 8.92 juta saham kepada orang awam, 10 juta kepada para pengarah, pekerja dan orang yang memenuhi syarat yang mana telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan, serta 11.08 juta kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Di samping itu, terdapat tawaran untuk jualan oleh penganjurnya yang melibatkan 18.00 juta saham biasa sedia ada dalam Haily secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Penawaran 8.92 juta saham kepada orang awam Malaysia telah terlebih langganan sebanyak 38.81 kali. TA Securities Holdings Berhad adalah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin serta Ejen Penempatan berkaitan dengan IPO berkenaan.
Mengenai dasar dividen, Kumpulan berniat untuk mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keuntungan tahunannya yang dapat diberikan kepada pemegang sahamnya setelah penyenaraian selesai.
Namun, itu bukan merupakan kewajiban yang diikat secara sah kepada para pemegang saham.
Dividen yang diisytiharkan dan diagihkan oleh Kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY17), FY18, FY19 dan FY20 adalah masing-masing RM10.01 juta, RM5.25 juta, RM6.00 juta dan RM2.50 juta. – UTUSAN










