PETALING JAYA: Proton melancarkan edisi khas X70 dengan ciri-ciri mewah bersama warna istimewa.
Menurut Proton, X70 edisi khas mempunyai spesifikasi sama dengan varian Premium 2WD dan ia juga menggunakan enjin 1.8 liter TGDi serta transmisi dwi-klac 7 kelajuan.
“Perbezaannya hadir pada pakej gaya luaran dan hiasan dalaman untuk meningkatkan daya tarikannya.
“Proton X70 edisi khas ditawarkan dengan warna baharu iaitu Ocean Blue dan Ruby Red dan juga mempunyai atas, spoiler belakang dan cermin pintu yang diwarnakan hitam serta reka bentuk baharu `sport rim’ 19 inci.
“Lambang SE ekslusif juga dipasang pada bahagian belakang sebagai sentuhan terakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Proton, bagi memadankan warna hitam pada bahagian luar, bahagian dalaman juga berwarna hitam bersama perincian mewah yang menaikkan lagi suasana kabin.
Jelas ini, ia juga termasuk tempat duduk kulit Nappa hitam yang lembut, kemasan hiasan dalaman dan tikar karpet khas SE yang baharu.
“Sama seperti Proton X70 yang lain, Proton X70 Edisi Khas dilengkapi dengan Sistem Penulenan Udara Pintar Proton (P-IAPS) yang menggabungkan kebaikan Penapis Kabin N95 dan sistem pembersihan udara untuk menawarkan perlindungan terhadap pencemaran bawaan udara.
“Proton X70 edisi khas ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans RM123,800. Sehingga 31 Disember 2021, tertakluk pada ketersediaan, ia akan dijual dengan insentif cukai jualan PEMERKASA+ bernilai RM7,000,” katanya. – UTUSAN










