PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyifatkan cadangan kerajaan agar sektor koperasi negara melebarkan sayap dalam pelbagai sektor ekonomi termasuk pemilikan saham syarikat dan bidang perniagaan adalah tepat pada masanya.
Menurut Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, langkah itu selari dengan kekuatan dan sumber kepakaran yang ada dalam kalangan lebih enam juta ahli koperasi di negara ini.
“Angkasa mengalu-alukan seruan kerajaan kerana kita juga pernah menyuarakan cadangan tersebut kepada pihak kerajaan namun kita juga memohon supaya undang-undang dan peraturan untuk mempelbagaikan lagi aktiviti koperasi itu dipermudah.
“Sebagai contoh, beri kelonggaran untuk proses permohonan saham dan benarkan koperasi membuat pinjaman bagi pembelian saham kerana selama ini kita menggunakan dana sendiri sahaja.
“Buat masa ini pihak koperasi dibelenggu syarat dan peraturan ketat yang menghalang kita bertindak pantas untuk terus berkembang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Bagi meluaskan sayap dalam bidang pembinaan pula, beliau menggesa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi membuka ruang perbincangan dengan kementerian-kementerian lain antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar kelonggaran tertentu dapat diberikan.
Jelasnya, ini termasuk mengembalikan semula keistimewaan pengecualian deposit rancangan pembangunan terhadap koperasi di bawah akta KPKT terdahulu.
“Koperasi juga perlu membuka anak syarikat setiap kali mahu menjalankan projek pembinaan kerana kita bukan entiti perniagaan. Perkara itu agak merumitkan sehingga melambatkan usaha kami membuat keputusan.
“Kita ada kekuatan dan jika menjalankan projek pembinaan rumah contohnya, kita sudah mempunyai pasaran dalam kalangan ahli. Jika pindaan peraturan koperasi dapat dirangka kembali, sudah tentu pelbagai program dan aktiviti dapat dilaksanakan kelak,” tambahnya.
Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjadi tetamu dalam Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV berkata, sektor koperasi perlu mempelbagaikan aktivitinya selain daripada bidang perkhidmatan bagi memastikan mampu mendepani perubahan masa.
“Senario sekarang, sektor koperasi terlalu tertumpu kepada perkhidmatan seperti pelancongan, hotel dan inap desa menyebabkan sebahagian besar koperasi terjejas dengan pelaksanaan sekatan pergerakan ekoran pandemik,” katanya.
Justeru katanya, bagi memastikan kejayaan langkah tersebut, beberapa perubahan dan pindaan dalam peraturan koperasi mungkin perlu dilakukan. – UTUSAN ONLINE