KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan salah guna wang bantuan misi kemanusiaan sebanyak RM207,000, tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) didakwa secara tidak jujur telah menyalahgunakan duit bantuan misi kemanusiaan bernilai RM207,000 dengan kerjasama NGO di Palestin, Syria dan Myanmar di sebuah bank di Jalan Sultan Hishamuddin pada 27 Disember 2019, di sini.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan Akta 574 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang enam bulan, dengan sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman pada setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mohd. Hakim yang diwakili peguam bela, Azizul Shariman Mat Yusof meminta jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah dan ibu bapa yang sakit selain pendapatan isteri hanya RM1,500 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 11 Mac ini.
Pada 16 Jun 2025, Utusan Malaysia melaporkan sebuah NGO dikenal pasti menggunakan wang hasil penyelewengan dana orang ramai untuk membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah termasuk membeli mata wang kripto berjumlah keseluruhan RM26 juta.
Kegiatan terbabit terbongkar selepas lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO ditahan SPRM menerusi Op Serantau menerusi serbuan di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu SPRM sudah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu wang tunai lebih RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi berkenaan. – UTUSAN










