Pertama Digital tingkat kepentingan  dalam DAPAT Vista - Utusan Malaysia

Pertama Digital tingkat kepentingan  dalam DAPAT Vista

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertama Digital Berhad (Pertama Digital ) bakal meningkatkan kepentingannya sebanyak 24 peratus dalam syarikat perisian agensi teknologi kerajaan (govtech), DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. (DAPAT Vista).

Langkah pengambilalihan itu dilakukan oleh anak syarikatnya, Television Airtime Services Sdn. Bhd. (TAS), daripada pemegang saham DAPAT Vista lain, HeiTech Padu Berhad (HeiTech).

Menurut syarikat itu, berdasarkan kontrak yang ditandatangani pada 2019, TAS berhak memperoleh sehingga 60 peratus saham biasa DAPAT Vista hingga Disember 2023.

Pengarah Eksekutif Pertama Digital, Sabri Ab. Rahman berkata, walaupun TAS diberikan masa 2 tahun lagi untuk menyelesaikan pemerolehan itu, pihaknya ingin mengambil peluang itu sekarang untuk memanfaatkan strategi global ke arah digitalisasi.

“Pertama Digital akan memanfaatkan peningkatan nilai perniagaan yang dilakukan secara konsisten oleh DAPAT Vista sepanjang pandemik Covid-19 dan melaksanakan pelaburan baik dalam TAS.

“Sudah tentu, itu sangat baik untuk sumbangan lebih besar DAPAT Vista kepada pendapatan Pertama Digital,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum 2020, TAS memiliki 20 peratus saham DAPAT Vista, sementara Heitech memegang bakinya, 80 peratus.

Penyelesaian pemerolehan itu bakal menyaksikan TAS meningkatkan pegangan sahamnya kepada 80 peratus sementara HeiTech memperoleh 20 peratus.

Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad, Pertama Digital menyokong inisiatif govtech dan teknologi kewangan (fintech) yang membina penyelesaian inklusif untuk rakyat Malaysia.

Pada Mei 2020, Pertama Digital telah memperoleh 51 peratus kepentingan dalam TAS yang merupakan syarikat induk DAPAT Vista.

Antara projek yang dilakukan oleh DAPAT Vista adalah memiliki dan mengendalikan portal SMS kerajaan, mySMS, aplikasi pembayaran mudah alih MyPay dan penyelesaian pembayaran jaminan mahkamah pintar pertama di dunia, eJamin.

Baru-baru ini, konsortium Pertama Digital memohon lesen perbankan digital dari Bank Negara Malaysia (BNM), memfokuskan kepada pendekatan kolaboratif dengan para pemain ekosistem untuk memberikan pembiayaan yang beretika dan produktif bagi golongan yang kurang layak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN