Penambahbaikan kemudahan di bawah Dana BNM untuk PKS - Utusan Malaysia

Penambahbaikan kemudahan di bawah Dana BNM untuk PKS

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) akan menambah peruntukan untuk Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) sebanyak RM2 bilion.

Penambahan itu meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM6 bilion, kata bank pusat itu dalam kenyataan malam ini.

Tambah BNM, TRRF bertujuan memberikan bantuan dan sokongan untuk pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan.

“Selain itu, BNM juga akan menambah peruntukan untuk Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) sebanyak RM2 bilion. Penambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM6.5 bilion.

“Kemudahan AES ini terbuka kepada PKS daripada semua sektor ekonomi dan bertujuan untuk meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan,” katanya.

BNM berkata, penambahan di atas telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Mengenai penambahbaikan ciri kemudahan, bank pusat itu berkata, TRRF dan Pembinaan Pelancongan Penjana (PTF) telah ditambah baik untuk membolehkan PKS menggunakan sebahagian daripada pembiayaana untuk membayar balik pinjaman perniagaan sedia ada (iaitu pembiayaan semula).

Katanya, jumlah maksimum yang boleh digunakan untuk pembiayaan semula adalah seperti berikut:
* TRRF: Hingga 30 peratus daripada pembiayaan diluluskan
* PTF: Hingga 50 peratus daripada pembiayaan diluluskan

Selain itu jelasnya, penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kini layak untuk memohon PTF sehingga RM300,000 bagi setiap PKS.

“PTF bertujuan untuk menyokong PKS dalam sektor pelancongan dengan membantu mereka mengekalkan keupayaan dan membuat penyesuaian serta terus berdaya maju selepas pandemik.

“PKS yang berminat boleh terus memohon untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan ini daripada institusi kewangan peserta. PKS juga boleh merujuk bnm.gov.my/covid19   atau menghubungi kami melalui bnm.my/LINK jika mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kemudahan pembiayaan BNM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN