Olive House tawar produk berkhasiat tinggi - Utusan Malaysia

Olive House tawar produk berkhasiat tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Anak syarikat Aafiyat Holdings Sdn. Bhd. (Aafiyat Group), OHR Marketing Sdn. Bhd. (Olive House) merupakan syarikat pembekal pelbagai produk organik dan alami yang halal.

Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, orang ramai semakin sedar akan kepentingan menjaga kesihatan diri menggunakan produk-produk yang berkualiti dan berkhasiat tinggi.

Ikuti temubual wartawan SHAFIQAH SHUKOR bersama Presiden Aafiyat Group dan Ketua Pegawai Operasi Olive House, AIDIL AZWAL ZAINUDIN yang berkongsi tentang perkembangan syarikat dan produk yang ditawarkan bagi membantu orang ramai menjaga kesihatan diri.

UTUSAN: Berapakah jumlah jualan yang dicatatkan tahun lalu dan bagaimana pula sasaran jualan tahun ini? 

AIDIL AZWAL ZAINUDIN: Secara keseluruhan, jumlah jualan ekosistem Aafiyat Group pada tahun lalu adalah sebanyak RM61.5 juta, melebihi sasaran jualan asal iaitu RM60 juta. Anak syarikat Aafiyat Group iaitu Olive House, merupakan tunjang utama dalam perniagaan kami.

Kami amat bersyukur kerana jualan pada tahun 2020 berjaya melepasi sasaran walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar berikutan pandemik Covid-19. 

Antara faktor utama peningkatan pembelian dalam kalangan pelanggan kami ialah timbulnya kesedaran yang lebih meluas dan mendalam terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan meningkatkan imuniti diri. 

Sasaran jualan ekosistem Aafiyat Group pada tahun ini pula ialah RM80.1 juta dan kami percaya ia adalah sasaran yang realistik untuk dicapai.

Bagaimana perbandingan antara kadar jualan sebelum dan ketika pandemik?

Pada tahun lalu, jualan ekosistem Aafiyat Group meningkat 30 peratus kepada RM61.5 juta. Sebelum pandemik melanda dunia iaitu pada 2019, jualan kami ialah RM49.6 juta. 

Adakah syarikat merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan luar negara? Berapakah jumlah yang akan diperuntukkan untuk menampung permintaan dari aspek kapasiti pengeluaran selepas pasaran negara baharu diterokai syarikat?

Aafiyat Group memang dalam proses membesarkan lagi kapasiti perniagaan termasuk perniagaan Olive House, pembelian aset-aset perniagaan dan juga penubuhan anak-anak syarikat yang lain seperti Aafiyat Synergy Sdn. Bhd. yang fokus dalam pengilangan dan pemasaran snek sihat. 

Snek-snek sihat itu penting sebagai salah satu usaha untuk menangani isu kekurangan zat nutrisi dalam kalangan kanak-kanak terutamanya yang datang dari golongan B40.

Apakah kebaikan atau kelebihan produk keluaran syarikat berbanding produk lain di pasaran? Apakah langkah strategik syarikat untuk memastikan kualiti produk kekal berada pada tahap tertinggi?

Produk Olive House bukanlah produk yang dikategorikan sebagai ubat. Ia adalah makanan semula jadi yang tinggi nilai nutrisi dan khasiat. Setiap produk kami bukan sahaja dihasilkan dengan teliti tetapi juga mendapat pengiktirafan dari badan-badan diiktiraf seperti Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Halal, Pensijilan Makanan Organik oleh Kementerian Kesihatan dan lain-lain lagi. 

Produk-produk yang kami pasarkan, sama ada produk keluaran kilang kami sendiri atau produk yang diimport dari luar negara adalah tertakluk kepada piawaian kualiti dan keselamatan yang cukup tinggi dan ketat. 

Sebagai contoh, Olivie Plus, produk minyak zaitun terlaris kami yang diimport dari Maghribi, telah disahkan organik oleh badan-badan piawaian antarabangsa seperti USDA,  pensijilan standard persekitaran (CERES), IFS Food Certificate-Higher Level Food Standard, Certificate of Conformity-Global Standard for Food Safety dan ISO 22000:2005. 

Kami juga sedang menjalankan beberapa projek kajian dengan kerjasama beberapa badan akademik tempatan untuk mengesahkan dengan lebih lanjut dari sudut sains tentang manfaat kesihatan menerusi penggunaan produk-produk kami.

Berapakah jumlah produk yang dikeluarkan syarikat dan harga produk?

Antara produk yang ditawarkan ialah, minyak jintan hitam, minyak zaitun, madu dari gunung Kyrgyzstan dan produk terbaharu, kurma ajwah. Produk-produk tersebut dijual dengan harga serendah RM29.90 hingga RM484.70. Untuk maklumat lanjut boleh layari aafiyat2u.com.

Apakah pencapaian terbaik yang dikecapi syarikat setakat ini?

Olive House telah disenaraikan oleh akhbar perniagaan antarabangsa, Financial Times (FT) sebagai 20 syarikat teratas yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi di rantau Asia Pasifik dalam FT Asia-Pacific High-Growth Companies 2021.

Penyenaraian itu adalah hasil kajian bersama Nikkei Asia dan firma penyelidikan antarabangsa, Statista. Kami berada di tempat ke-242.

Olive House turut berada di tangga kelapan dalam kategori peruncitan daripada 500 syarikat teratas di rantau Asia Pasifik.

Sebelum ini, Olive House juga tersenarai dalam Malaysia Growth Champions 2021 yang dianjurkan oleh akhbar tempatan The Star, dengan kerjasama Statista. Syarikat telah mendapat tempat ke 10 daripada 25 buah syarikat selain berada di tempat teratas bagi kategori peruncitan.

Apakah prospek pasaran baharu syarikat dalam tempoh sederhana (3 tahun)? Mengapa syarikat menyasarkan untuk meneroka pasaran terbabit?

Pada masa hadapan, Olive House menyasarkan bukan sahaja untuk terus memperkukuh penguasaan dalam pasaran tempatan malah mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa, bermula di rantau Asia Tenggara khususnya Indonesia yang masih dalam peringkat penembusan awal. 

Meskipun produk-produk Olive House sudah dipasarkan ke Singapura dan Brunei, sebagai sebuah negara Islam terbesar di dunia dengan permintaan tinggi bagi produk-produk kesihatan yang halal, alami dan organik, Indonesia merupakan sebuah pasaran berpotensi tinggi untuk Olive House ceburi. 

Apakah jumlah nisbah antara pasaran luar negara dan domestik ketika ini?

Penguasaan pasaran domestik tentunya lebih besar, kerana pasaran untuk produk-produk Olive House di Brunei dan Singapura secara relatifnya adalah lebih kecil berbanding pasaran domestik. Ia juga jauh lebih kecil berbanding pasaran sasaran kami di Indonesia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya