
PETALING JAYA: Anak syarikat Malakoff Corporation Berhad, Malakoff Radiance Sdn. Bhd. menandatangani enam perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) untuk pembangunan sistem tenaga solar bumbung dengan enam anak syarikat DRB-HICOM Group.
Enam syarikat tersebut ialah CTRM Aero Composites Sdn. Bhd.; Hicom Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn. Bhd.; Isuzu HICOM (M) Sdn. Bhd.; HICOM Teck-See Manufacturing Sdn. Bhd.; HICOM Berhad serta Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.
Menurut Malakoff, fasiliti solar tersebut akan dipasang di bawah kontrak bina-milik-operasi-pindah (BOOT) sebagai sebahagian daripada SPPA bertempoh 25 tahun.
“Apabila selesai, fasiliti ini dijangka dapat menjana 18,836 MWh elektrik bersih setiap tahun.
“Jumlah ini akan meneutralkan kira-kira 13,072 tan pelepasan karbon setahun dari industri pembinaan,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, perjanjian itu mencerminkan komitmen Malakoff untuk mengembangkan portfolio penjanaan tenaga boleh dibaharui (RE) Malakoff.
Beliau yakin bahawa Malakoff berada dalam landasan yang tepat untuk merebut peluang-peluang baharu dalam sektor RE dan projek tersebut adalah satu lagi kejayaan kumpulan itu dalam segmen solar bumbung.
“Kami mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana entiti perniagaan untuk sistem solar bumbung.
“Saya optimis terhadap pertumbuhan segmen solar bumbung yang kami alami sekarang, memandangkan banyak perniagaan berusaha menangani isu global berkenaan perubahan iklim.
“Sebagai peneraju dalam sektor tenaga dan sisa, klien dan rakan kongsi kami mempercayai kebolehan kami untuk membantu mereka mencapai agenda menangani pelepasan karbon,” katanya.
Menurut Malakoff, projek tersebut adalah sebahagian daripada agenda transformasinya yang selari dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, selain bumbung solar, Malakoff turut menyasarkan untuk memperkembang usahanya dalam kapasiti penjanaan RE lain seperti hidro mini, sisa kepada tenaga (WTE) dan jana kuasa biogas di Malaysia. – UTUSAN










