PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan, pekerja dan kesatuan pekerja dapat memberi ruang kepada para majikan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk terus bertahan dalam keadaan pandemik yang masih meruncing.
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ia termasuk melaksanakan pemotongan kos sementara menerusi pemotongan gaji dan faedah bagi mengelakkan pekerja diberhentikan.
Namun jelasnya, pekerja tidak perlu gusar kerana setelah ekonomi pulih dan keadaan kewangan stabil para majikan akan memberikan semula gaji dan tahap faedah seperti sebelumnya.
Menurut beliau, dalam kajian MEF mengenai kadar gaji 2020, gaji purata diunjur meningkat masing-masing 4.82 dan 4.79 peratus untuk pekerja eksekutif dan bukan eksekutif, namun sebaliknya berlaku apabila kadar purata gaji mencatat penurunan sembilan peratus berbanding 2019.
“Kita juga sebelum ini menganggarkan kenaikan kadar gaji sebanyak 4.59 peratus untuk pekerja eksekutif dan 4.57 peratus untuk bukan eksekutif bagi tahun ini.
“Bagaimanapun, berdasarkan keadaan pandemik yang masih memberi kesan kepada ekonomi, kita sedang menjalankan survei gaji baharu yang akan diumumkan November nanti,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, MEF percaya pekerja yang bekerja di sektor ekonomi perlu dapat mengekalkan pekerjaan mereka walaupun dengan potongan gaji atau faedah.
“MEF berharap dengan program vaksinasi yang agresif sehingga menjangkau 450,000 dos sehari, kawasan yang berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan segera memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.
“Dengan itu, lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula sekali gus membantu majikan mengekalkan pekerja mereka,” jelasnya.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan menyatakan purata gaji dan upah bulanan pada 2020 menurun sembilan peratus kepada RM2,933 berbanding RM3,000 pada tahun sebelumnya, penurunan kali pertama dicatatkan sejak 2010.
Keadaan tersebut kerana pasaran negara mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi seterusnya menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan serta pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga. – UTUSAN










