PETALING JAYA: Kempen Shop Malaysia Online (SMO) di Shopee kembali untuk tahun kedua bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia melalui baucar diskaun, pelanggan tunai dan subsidi penghantaran percuma yang akan membantu dalam pengurusan kos sara hidup.
Pada tahun lalu, kempen Ringgit-ke-Ringgit di Shopee telah memanfaatkan lebih daripada 2.9 juta pembeli, menjana jualan bernilai lebih RM540 juta untuk 80,000 penjual di Malaysia di platform e-dagang tersebut.
Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata kempen itu telah memanfaatkan lebih 2.9 juta rakyat Malaysia yang menggunakan baucar untuk menambah baik kesihatan serta menaik taraf rumah tangga masing-masing.
“Kempen itu juga telah melahirkan pembeli atas talian baharu yang secara puratanya telah membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen itu, walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa itu telah dilonggarkan.
“Data ini menunjukkan bahawa selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, inisiatif ini telah berjaya memacu digitalisasi,” katanya dalam kenyataan.
SMO adalah sebuah inisiatif e-dagang oleh Kementerian Kewangan (MOF), dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ditugaskan untuk memacu kempen ini dari sekarang hingga 31 Disember ini.
Ian menjelaskan, fokus utama pihaknya dari segi perniagaan adalah untuk memperkasakan komuniti dan penjual tempatan melalui pendekatan penyetempatan hiper dan membolehkan e-dagang untuk dinikmati oleh semua.
Oleh itu, katanya, program seperti SMO adalah selaras dengan misi pihaknya dan mereka akan memberi komitmen dalam Ringgit dan Sen.
Menurut Ian, matlamat jangka pendek bagi SMO adalah untuk memacu penggunaan domestik. Objektif jangka panjang SMO pula adalah untuk membawa lebih ramai pengguna ke atas talian dan menggalakkan para pembeli agar membuat pilihan untuk menyokong penjual tempatan.
Ujarnya, demi membantu pihak kerajaan mencapai objektif-objektif ini, Shopee akan mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi kempen SMO tahun ini.
“Pertama, Shopee akan memberi ganjaran menarik dalam bentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syliling Shopee dan subsidi penghantaran percuma untuk pengguna Malaysia apabila mereka menyokong dan membeli daripada penjual tempatan yang memiliki label ‘ShopMalaysia’.
“Kedua, Shopee akan berusaha untuk menarik pelanggan dan menjana aliran tunai kembali kepada peruncit luar talian seperti kedai makanan dan minuman, kedai serbaneka, farmasi dan banyak lagi melalui pulangan tunai dan diskaun sebanyak lebih daripada RM3,” jelasnya.
Ian memberitahu, itu boleh didapati di portal dalam aplikasi ‘Deals Near Me’ apabila para pengguna membeli Baucar ShopeePay serendah 1 sen dan menebusnya dengan ShopeePay.
Tambahnya, ketiga, SMO bagi tahun ini melibatkan sokongan tambahan kepada penjual tempatan untuk mengeksport barangan mereka dan menembusi pasaran baharu.
“Shopee akan melaksanakan usaha itu menerusi Platform Antarabangsa Shopee (SIP), sebuah inisiatif rentas sempadan hujung ke hujung yang merangkumi logistik, pembayaran serta perkhidmatan pelanggan untuk penjual tempatan tanpa kos tambahan,” katanya. – UTUSAN










