
Video telah menjadi antara kandungan penting dalam pengalaman pengguna digital pada hari ini. Dengan kemajuan teknologi serta penggunaan peranti digital yang terus meningkat di kalangan masyarakat, trend video juga turut mengalami percambahan kreativiti dan permintaan dengan kadar yang drastik di seluruh dunia.
Antara platform pengumpulan dan perkongsian kandungan video secara dalam talian adalah YouTube. Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, ia kini merupakan saluran media sosial dengan kredibiliti penyiaran dan penyimpanan kandungan video pengguna paling popular dan terbesar di dunia. Berdasarkan kenyataan rasmi Google, platform YouTube menerima durasi tontonan sekitar satu billion jam setiap hari dengan pendapatan komersial berjumlah AS$19.77 billion (RM82.80 bilion) pada 2020.
YouTube juga merupakan saluran pilihan dengan populariti yang terus meningkat di Malaysia. Ia turut menjadi landasan melahirkan ramai individu terkenal sebagai YouTuber melalui penerbitan pelbagai kandungan kreatif yang mampu menarik minat jutaan penonton secara dalam talian. Begitu juga dengan para usahawan dalam menyokong establishment pasaran dan penjenamaan melalui kelebihan serta potensi pasaran yang tersedia di YouTube.
POTENSI CAPAIAN PASARAN
Akaun YouTube boleh didaftar secara percuma dan dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mencipta kandungan video kepada capaian tontonan umum. Namun, setiap kandungan adalah tertakluk di bawah polisi dan garis panduan komuniti yang ditetapkan bagi memastikan input yang relevan untuk tontonan segenap lapisan masyarakat.
Pengembangan teknologi televisyen pintar dan sistem android turut menjadi faktor pemangkin kepada perubahan trend gaya hidup dengan menyaksikan peningkatan YouTube sebagai sebahagian saluran tontonan seisi rumah. Ia menyediakan pilihan video yang mudah ditonton di televisyen selain telefon pintar dan peranti digital.
Selain itu, kandungan video yang dimuat naik juga mempunyai kelebihan akses yang boleh dikongsikan pada artikel blog dan saluran media sosial popular seperti Facebook, Twitter dan Linkedin, termasuk platform komunikasi digital seperti e-mel, Whatsapp dan Telegram. Kemudahan ini membantu meluaskan lagi potensi capaian kandungan kepada prospek pasaran dengan mudah dan meluas.
Atas faktor tersebut juga telah menarik banyak organisasi perniagaan untuk membangunkan elemen Pemasaran Kandungan dalam format video kreatif disamping menjalin kolaborasi Pemasaran Berpengaruh dengan YouTuber berkredibiliti dalam usaha memperkukuh potensi pasaran melalui teknik penceritaan, portfolio dan testimoni sebagai strategi pemasaran bersasar.
KREDIBILITI CARIAN DIGITAL
Platform YouTube juga mempunyai nilai authoriti tinggi pada enjin carian. Setiap carian seperti di Google berdasarkan kata kunci tertentu akan turut menyenaraikan kandungan YouTube pada ranking yang baik. Kandungan video juga turut menjadi sumber rujukan mudah kepada orang ramai sebagai alternatif kepada membaca.
YouTube juga menyediakan sistem Tagging yang berfungsi dalam membantu pemilik akaun menentukan carian kata kunci yang sesuai untuk kandungan video agar dapat disasarkan kepada capaian audiens yang betul. Memuat naik kandungan video juga amat mudah selain memastikan mutu pengeditan dan penghasilan video melalui peranti dan aplikasi yang bersesuaian dengan aspirasi yang disasarkan.
Ruang Subscription juga membantu dalam menggalakkan setiap pemilik akaun untuk melanggan mana-mana saluran yang disukai serta mendapat notifikasi setiap kali kandungan video terbaharu diterbitkan. Ia turut membantu dalam memperkukuh hubungan jangka panjang audiens sebagai prospek dan pelanggan.
Kandungan video yang dimuat naik juga disimpan untuk tempoh masa yang panjang di YouTube dan boleh dikongsikan selagi ia relevan kepada carian dan tontonan ramai. Penciptaan kandungan video yang kreatif juga dapat menyentuh emosi audiens secara lebih personal dalam menjayakan pelbagai kempen pemasaran dengan lebih efektif.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










